Jangan salah guna Facebook
January 10, 2012
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, gesaan itu disuarakannya selepas melihat trend menghentam pihak tertentu menggunakan laman sosial itu semakin kerap berlaku kalangan penjawat awam sehingga membawa imej kurang baik terhadap Kerajaan Negeri.
Menurutnya, imej kurang baik dan komen menggunakan perkataan negatif dan lucah bagi meluahkan perasaan individu menyebabkan ramai pihak menyalahertikan sikap pegawai Kerajaan Negeri sebagai tidak sopan, walhal tindakan itu dilakukan oleh segelintir pihak.
“Saya harap Facebook dapat digunakan untuk tujuan positif, bukannya medium berunsurkan negatif termasuk dijadikan alat oleh mana-mana individu untuk menghentam pihak lain.
“Pada saya, tindakan menghentam pihak lain me-lalui Facebook langsung tidak membina baik kepada individu terbabit atau mana-mana pihak sekali pun. Sebaliknya ia hanya mencerminkan keburukan dan sikap negatif individu itu sendiri.
“Tambah buruk, tindakan terbabit tidak mustahil mampu membawa imej negatif kepada institusi penjawat awam sendiri, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kakitangan awam,” katanya ketika berucap sempena perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Warisan, di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid dan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua jabatan kerajaan dan agensi swasta.
Ditanya sama ada gesaan dilakukan merujuk kemelut antara bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat yang berbalah disebabkan komen di Facebook, Md Isa menegaskan gesaan dibuat tidak menuding jari kepada sesiapa.
Sementara itu, Md Isa turut menggesa semua penjawat awam supaya lebih berperanan sebagai ‘pengurus’ dan bukannya bertindak seperti seorang ‘pentadbir’ semata-mata, dengan menjadikan konsep 5S sebagai medium pelaksanaan.
Menurutnya, konsep 5S meliputi Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal, bukan suatu perkara baru dalam perkhidmatan awam, namun keupayaan setiap warganya untuk menterjemah konsep terbabit masih diragui.
“Kita perlu sedar konsep 5S yang terbukti mampu mewujudkan suasana serta persekitaran tempat kerja yang lebih sistematik, teratur dan kemas bukan sekadar untuk diketahui saja. Sebaliknya, ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalam setiap bidang tugasan dijalankan.
“Paling penting, lupakan setiap ruang perbezaan baik daripada segi latar belakang, pengalaman serta kemahiran antara satu sama lain dengan menjadikan ia sebagai bahan pelengkap memastikan perkhidmatan yang diberikan sebagai satu pasukan lebih mantap dan
berkesan,” katanya.
No comments:
Post a Comment