Thursday, January 19, 2012

bursa sepi

Bursa Malaysia semakin sepi

SALLEH MAJID
Open UniversityKuala Lumpur

BURSA Malaysia, satu nama yang gah di mata para pelabur. Suatu ketika dahulu bursa ini mencapai pencapaian yang mengagumkan.

Dalam era tahun 1990 hingga 1995 bursa ini begitu mendapat perhatian para pelabur. Jika dibandingkan dengan sekarang ibarat hidup segan, mati pun tak mahu.

Rata-rata kawan saya terutama dari kalangan kaum Cina kecewa dengan harga-harga saham yang didagangkan. Begitu juga syarikat-syarikat yang baru disenaraikan terutama kaunter Ace, ia seperti ingin memerangkap pelabur-pelabur.

Akibat tindakan bursa yang begitu berhati-hati akhirnya memakan diri. Para pelabur asing enggan memasuki pasaran. Bila harga saham hendak meningkat sudah dikelaskan unusual activity.

Sepatutnya pihak bursa bertindak ke atas syarikat yang harga sahamnya jatuh dan tiada dagangan ataupun dikenali volume. Syarikat-syarikat yang tidak mempunyai urus niaga selama beberapa waktu seharusnya dinyah senarai kerana tidak mendatangkan manfaat kepada pelabur.

Cuba bayangkan bagaimana hendak melakukan jual beli saham jika tidak ada pembeli dan penjual. Syarikat sendiri pun enggan membeli saham tersebut. Akibatnya saham tersebut layak menjadi sampah sahaja.

Kebiasaannya awal tahun akan terdapat rally Tahun Baru Cina. Tahun baru 2012 agak mengecewakan, nampak gaya keyakinan pelabur semakin tergugat.

Perdana Menteri seharusnya mengambil berat akan dagangan di Bursa Malaysia kerana kitaran dan kecairan duit akan berlaku begitu pantas jika dagangan bursa dirangsang.

Pelabur-pelabur akan berebut-rebut untuk menyertai pasaran, akhirnya berlaku pemulihan ekonomi seperti yang diharapkan. Semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kegawatan pun bursa cemerlang juga.

Orang Melayu memang tidak ambil tahu akan hal ini tetapi bagi peniaga seperti kami, jika ingin wang tambahan, kami akan melabur di bursa. Dengan jual beli saham inilah dapat menampung sewa kedai, gaji pekerja dan lain-lain.

Berniaga sekarang dan dahulu agak berbeza keuntungannya kerana lambakan barang dan persaingan terlalu banyak.

Saya berharap pegawai bursa yang baru dilantik memainkan peranan seperti yang diharapkan oleh rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment