Penantian 9 tahun berbaloi
January 14, 2012
Kedua bayi yang belum diberi nama itu berjaya dilahirkan kira-kira jam 4.50 petang, 11 Januari lalu melalui kaedah pembedahan tanpa sebarang komplikasi.
Ibu kepada pasangan kembar itu, Camelia Ramli, 30, berkata, dia dan suaminya Zulkifli Ahmad, 35, sebelum ini telah berusaha dengan pelbagai cara termasuklah cara tradisonal tetapi semuanya tidak berhasil.
Namun katanya, selepas menggunakan kaedah persenyawaan luar rahim melalui program ini, akhirnya dia berjaya hamil anak pertamanya pada bulan Mei tahun lalu.
“Setelah empat tahun berkahwin tidak dikurniakan anak, saya telah membuat permohonan untuk menjalani program ini, dan alhamdulillah TAFF memilih kami pada tahun lepas.
“Memanglah gembira terutamanya selepas menunggu begitu lama untuk mendapat cahaya mata. Tetapi yang lagi menggembirakan saya ialah mendapat anak kembar,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.
Katanya lagi, dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya itu tidak mengalami sebarang komplikasi selepas dilahirkan melalui kaedah pembedahan semalam.
“Saya berterima kasih kepada Pengasas TAFF, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang sudi memilih untuk menyertai program ini,” katanya.
Sementara itu, Setiusaha Kehormat TAFF, Datuk Hamimah Abd. Karim berkata, kedua-dua kembar ini merupakan bayi yang ke-66 dan ke-67 yang berjaya dihasilkan program ini.
”Pada tahun ini kami sasarkan lebih 100 pasangan akan berjaya untuk mendapatkan zuriat mereka,” katanya.
Katanya, syarat-syarat utama pasangan yang ingin mengikuti program ini adalah mereka mesti berkahwin lebih tiga tahun, gaji tidak lebih dari RM4,500, umur isteri tidak lebih 45 tahun dan beberapa lagi syarat lain.
”Mereka yang berminat bolehlah menghubungi TAFF di talian 09-5733241,” katanya.
No comments:
Post a Comment