'Pinjaman Islam' sepatutnya tidak membebankan
Oleh Saiful Mohamad Ghazali
MASYARAKAT Islam yang ingin membuat pinjaman melalui Islamic loan perlu berhati-hati dan teliti ketika menandatangani surat perjanjian jual beli dan pinjaman daripada bank komersil. Ada beberapa perkara yang kita tidak nampak atau tidak diberitahu secara jelas peraturan-peraturan yang ditulis yang kemudiannya akan menjadikan peminjam muflis 'dengan mudah.' Syarat seseorang diisytihar muflis oleh kerajaan Malaysia haruslah hutangnya lebih daripada RM30,000.
Secara sedar atau tidak sedar, perkataan 'Islam' yang dinamakan di dalam pinjaman juga boleh mengakibatkan 'si peminjam' kehilangan harta yang dimiliki walaupun harta tersebut mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman jika dibandingkan dengan pinjaman secara 'konvensional'.
Bagi institusi perbankan di Malaysia yang mengamalkan pinjaman secara Islam, mereka akan melakukan 'akad' yang menyatakan jumlah pinjaman secara pukal (yang dimaksudkan ialah sejumlah pinjaman yang dikenakan kepada peminjam jika membayar secara ansuran hingga penghujung tahun pinjaman yang dipohon).
Dalam nota perjanjian juga ada menyatakan sejumlah pinjaman yang akan dibayar oleh si peminjam dari awal bulan ke bulan akhir tahun pinjaman tersebut. Di sinilah bermulanya 'masalah' yang ditanggung oleh si peminjam yang membuat pinjaman Islam 'jika' tidak memahami konsep Yahudi dalam bayangan 'Pinjaman Secara Islam'.
Perbezaan pinjaman 'konvensional' dan pinjaman secara Islam ialah akad. Pinjaman konvensional tiada lafaz akad. Dalam pinjaman secara Islam, apabila 'akad' dibuat, maka sejumlah pinjaman penuh disebutkan.
Contohnya, jika harga rumah yang dibeli adalah RM400,000 dan setelah dikira (mengikut kiraan 'Islam' bagi bank tersebut) maka jumlah pinjaman sebenar menjadi RM950,000. Maka si peminjam harus menyebut dan setuju untuk 'lafaz akad' menerima jumlah hutang sebenar itu (RM950,000) dan inilah yang dinamakan oleh pihak bank sebagai 'Pinjaman Berasaskan Islam'.
Perbezaan jika kita membuat pinjaman 'konvensional' dengan jumlah yang sama, kiraannya masih lebih kurang sama jika si peminjam membuat bayaran setiap bulan dan sehingga bayaran akhir.
Secara jelas, hutang harus dibayar. Malah agama Islam mewajibkan setiap umatnya menyelesaikan semua hutang-piutang yang dibuat 'jika mampu' untuk membayarnya walaupun secara beransur-ansur.
Saya mempunyai rakan - seorang usahawanita yang berjaya meyakinkan pengilang dan pembeli dari luar negara untuk berurus niaga dengannya. Perniagaannya berjalan hampir lima tahun tanpa memerlukan pinjaman dari mana-mana bank.
Oleh kerana untuk bersama-sama memartabatkan kewangan Islam, usahawanita ini dan suaminya telah membuat pinjaman bagi membeli rumah yang diidamkan di sekitar Ampang, Selangor dengan harga sekitar RM400,000 dengan menggunakan tiga nama ahli keluarganya sebagai peminjam dan penjamin dengan bayaran bulanan RM1,700.
'Pinjaman perumahan secara Islam' di salah sebuah bank yang bukan dimiliki orang Islam itu nampaknya turut membebankan.
Bermula pertengahan tahun 2010, musibah telah menimpa peniagaannya. Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, akibat dari masalah kekacauan dan pemberontakan rakyat di negara rakan niaga usahawanita ini maka penghantaran barangan diminta dihentikan sementara sehingga negaranya stabil dan ini mengakibatkan usahawanita ini kehilangan punca pendapatan dan bayaran ansuran bagi pinjaman perumahan mula tertunggak serta tidak mampu untuk dibayar.
Namun, usahawanita ini tidak mengelak diri malah bekerjasama jika pihak bank menghubunginya. Oleh kerana masalah bayaran pinjaman sudah tertunggak hingga mencecah enam bulan, pihak bank menggunakan kuasa untuk mengambil tindakan memufliskan si peminjam, walaupun pinjaman tertunggak hanya kira-kira RM30,000. (syarat untuk tindakan memufliskan peminjam/penjamin).
Pihak bank telah bertindak memufliskan dua orang peminjam (anak dan suaminya yang namanya ada di dalam surat perjanjian) bagi pembelian rumah itu.
Ia juga atas 'kesilapan' usahawanita ini kerana tidak ke mahkamah bagi tujuan pembelaan, maka hukuman muflis telah dijatuhi ke atas dua penama dengan setiap orang dikenakan kadar muflis sebanyak hampir RM750,000 seorang atau bersama.
Persoalannya, pinjaman secara 'Islam' ini yang baru dibuat empat tahun itu dengan setiap bulan pinjaman telah dibayar, sehinggalah pada 12 bulan kebelakangan ini (bermulanya tertungak pembayaran pinjaman), apakah hutangnya sudah mencecah RM750,000?
Setakat pengetahuan saya, dalam perundangan Malaysia, rumah yang dibeli atas nama pinjaman haruslah dilelong terlebih dahulu. Setelah berjaya dijual, ditolak pula hutang dan 'jika' masih tidak mencukupi untuk menampung hutang yang berbaki, barulah diambil tindakan selanjutnya iaitu proses pembankrapan.
Namun, kes yang melibat usahawanita ini dilihat tidak adil kerana harga pasaran rumahnya adalah sekitar RM950,000.
Pihak Bank Negara Malaysia kena melihat kes ini dan dibuat kajian di atas sifat 'pinjaman perbankan Islam' ini. Apa yang kita fahami, pinjaman secara Islam agak susah untuk memufliskan peminjam. Apakah kerana ia ditadbir oleh bank yang dimiliki oleh bukan Islam, terma-terma perbankan mengikut syariah Islam boleh dimanipulasi?
Janganlah di sebalik ungkapan pinjaman secara 'Islam' tetapi berlaku tindakan licik institusi perbankan untuk merampas harta- harta orang Islam yang menghadapi masalah membuat bayaran balik pinjaman. Kepada bakal-bakal peminjam baru yang ingin membuat pinjaman secara Islam di bank, berhati-hatilah dan bacalah berulang kali surat perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya.
No comments:
Post a Comment