Saturday, March 5, 2011

Gay VS Lesbian

Antara cinta pengkid, gay


NAMA saya D, tinggal di Kuala Lumpur. Saya seorang lesbian yang amat meminati pengkid.

Dulu saya tidak layan cinta sejenis tapi ramai perempuan sukakan saya. Untuk mengelaknya, saya pernah menyimpan rambut panjang namun masalah lain pula timbul apabila ramai pengkid meminati. Akhirnya saya tersedar rupa-rupanya hati saya memang kepada perempuan yang berperwatakan lelaki.
Kini, hampir lima tahun saya terjebak dengan percintaan sejenis dan bercinta dengan pengkid bernama M. Saya amat sayangkan dia hingga tidak sanggup hendak berpisah.

Sekarang saya sedar umur semakin meningkat dan ingin berumah tangga dengan lelaki pilihan. Jika saya boleh berumah tangga dengan pengkid� M , sudah lama saya berbuat demikian namun itu adalah mustahil.



Hati sukar untuk menerima lelaki, tapi baru-baru ini saya pintu hati terbuka menerima lelaki bernama S.



Saya inginkan dia menjadi suami. Untuk pengetahuan Dr, S dulunya seorang gay dan tahu saya lesbian, justeru kami selesa berkawan.

Kata S, dia sudah berubah dan tidak mahu terjebak lagi dengan aktiviti lamanya. Sudah dua tahun dia tinggalkan dunia gay dan daripada cara serta gerak-gerinya, saya tahu dia sukakan saya. Kami mengambil keputusan untuk berkawan dan mengenal hati budi.

S tahu saya masih menjalin hubungan dengan M walaupun tidak menyukai saya berbuat demikian. Saya ada memberitahu M bahawa ingin berkahwin dan berubah malangnya dia tidak boleh menerima keputusan itu.

Saya buntu kerana setiap kali S menghantar mesej, M yang akan membalasnya malah M juga ada menelefon S bertanyakan hubungan kami tanpa pengetahuan saya. Sekarang M sangat bencikan S dan saya tidak suka keadaan ini.

Saya takut S akan menjauhi saya kerana M serta pada masa sama runsing S bersikap seperti biasa dan tidak meluahkan apa-apa kepastian. Saya hendak berkahwin dan mempunyai anak tapi sekarang saya buntu. Dan, saya juga hendak M menjadi sahabat saya sampai bila-bila kerana dia sangat baik terhadap saya.


D,
Kuala Lumpur.



KESEDARAN adik untuk berubah amat Dr kagumi. Adik juga nyatakan pintu hati sudah terbuka untuk kaum lelaki.

Jujurnya Dr amat gembira dengan perubahan diri dan kesudian adik untuk memberi ruang di sudut hati untuk insan bernama lelaki. Ia satu permulaan yang baik kepada perubahan orientasi seksual yang normal.

Dr doakan kejayaan adik kerana jika kita melakukan semua yang kita upaya lakukan, sesungguhnya kita akan terkejut dengan hasilnya.

Namun, mengetahui perkara yang betul belum memadai jika tidak melakukan perkara yang terbaik. Segala niat baik adik itu perlu diikuti dengan tingkah laku yang menyokong kepada perubahan positif diri.

Belum mencukupi jika adik mempunyai keinginan untuk menjalani kehidupan normal seorang wanita tanpa adik berusaha mendapatkan apa yang dihajati. Sama penting juga ialah menjauhi faktor yang menolak adik daripada melakukan perubahan.

Sikap S yang tidak mahu lagi terjebak dengan aktiviti lamanya (seorang gay) memudahkan lagi perjalanan adik mendapat sokongan untuk berubah. Kehadiran S boleh membantu adik mencapai cita-cita untuk berubah menjadi wanita normal serta mempunyai keluarga dan anak.

Sikap S yang tidak memberi sebarang hala tuju dalam perhubungan kalian menambahkan konflik. Jika adik merasakan S betul-betul sesuai, adik perlu berani untuk berterus terang perasaan adik terhadapnya.

Ini kerana “hal yang menyedihkan dalam hidup adalah ketika kamu bertemu seseorang yang sangat bererti bagimu, hanyalah untuk menemukan pada akhirnya menjadi tidak bererti dan kamu harus membiarkannya pergi”.

Jika S ikhlas dalam perhubungan cinta ini, dia akan menyatakan kesediaan untuk menjadikan adik pasangan hidupnya.

Jika S tidak dapat menerima adik sebagai pasangan hidupnya, diharapkan adik tidak akan kecewa dan mengambil jalan mudah untuk terus menjalani hidup sebagai seorang lesbian.

Jika adik benar-benar ikhlas untuk menjadi wanita normal, Dr doakan satu hari nanti akan ada lelaki yang ikhlas untuk menjadikan adik suri hidupnya.

Sukar bagi adik untuk berubah jika terus dalam persekitaran yang hanya akan mendorong adik untuk terus terbabit dalam dunia lesbian.

Dengan terus membina hubungan cinta dengan M dan jika perasaan ini jika tidak dikawal dengan baik, boleh saja menyebabkan adik menjalinkan hubungan sejenis semula dengannya.

Niat untuk bersahabat baik dengan M memang baik. Namun, adik perlu membezakan antara sayang seorang sahabat dengan sayang terhadap seorang kekasih.

Beritahu M adik hanya ingin menganggapnya sebagai seorang sahabat. Pepatah ada mengatakan “Sahabat sejati dan setia adalah lebih bernilai dari semua emas di dunia” dan “Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan, sahabat sejati menjadi pendorong impian”

No comments:

Post a Comment