Tuesday, March 8, 2011

Kelab Rodong

200 jurugambar 'Bersiar Ghodong-Ghodong'

KUANTAN 8 Mac - Kelab Ghodong-Ghodong Fotografi baru-baru ini menganjurkan bengkel teknik fotografi dengan merakamkan pelbagai destinasi menarik yang terdapat di bandar ini.

Bengkel sehari bertemakan 'Bersiar Ghodong-Ghodong' itu disertai 200 jurugambar yang turut mendapat kerjasama dua kelab fotografi lain iaitu Eastern Shutter dan DSLR Kemaman serta jurugambar bebas.

Sepanjang bengkel tersebut mereka didedahkan cara penggunaan kamera, merakam gambar, gambar potret dan kepelbagaian sudut menarik sesuai dengan tugasan tertentu.

Peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan dan setiap kumpulan disediakan seorang model untuk dirakamkan melalui lensa kamera dengan aksi bersahaja.

Presiden kelab itu, Muhammad Ashraf Zulkifli, 25, berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan tentang penggunaan kamera dan cara mendapatkan gambar terbaik.

"Semua orang boleh mengambil gambar, namun untuk merakamkan gambar terbaik yang boleh mentafsirkan rakaman itu perlu mempelajarinya secara khusus dan teknikal.

"Walaupun peserta bengkel itu mempunyai pelbagai latar belakang, kita dapat menyatukan mereka menghasilkan gambar terbaik di akhir bengkel tersebut," katanya.

Ashraf juga terharu dengan sambutan peserta yang datang dari pelbagai daerah seperti Temerloh, Jerantut, Raub, Pekan termasuk dari luar Pahang iaitu Kemaman dan Dungun, Terengganu.

Dalam pada itu, salah seorang jurugambar bebas, M. Eraman Malek, 27, berkata, bengkel tersebut mencapai matlamat kerana bukan sahaja mempelajari teknik digital malah memberi maklumat baru mengenai penggunaan serta teknik menangkap gambar.

"Saya bukan sahaja berkesempatan mendalami penggunaan kamera digital tetapi berpeluang mengenali rakan- rakan daripada berbilang kaum yang mempunyai minat sama," katanya.

Seorang lagi jurugambar bebas, Syazrul Edwan Mohd. Sham, 32, berkata, dia bertuah kerana bukan sahaja mengikuti bengkel tersebut tetapi berkongsi ilmu dengan peserta lain.

"Bagi saya, pengalaman itu amat berguna dan berharap pihak penganjur dapat meneruskan usaha seperti ini pada masa akan datang," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA L

No comments:

Post a Comment