Wednesday, March 7, 2012

api dari sisa kumbahan

Bahan api sisa kumbahan


Dr. Rusnah Samsudin (kiri) bersama kumpulan penyelidikan menukar sisa kumbahan kepada tenaga alternatif.


KAJIAN menunjukkan Malaysia telah menghasilkan tiga juta meter padu sisa kumbahan setiap tahun dan dijangka meningkat kepada tujuh juta meter padu menjelang tahun 2020.
Kos pengurusan bagi merawat sisa kumbahan ini menelan belanja yang cukup tinggi.
Menyedari bahawa masalah peningkatan sisa kumbahan semakin meruncing, sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengambil inisiatif meneroka potensi yang mampu dihasilkan daripada sisa kumbahan.
Kumpulan penyelidik terbabit, diketuai Profesor Madya Dr. Rusnah Samsuddin dari Fakulti Sains Gunaan menggunakan sisa kumbahan terawat dari loji rawatan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
Sampel tersebut diuji untuk menentukan penghasilan minyak bio melalui proses pirolisis.
Minyak bio yang terhasil berpotensi digunakan sebagai bahan api alternatif.
Proses tersebut menggunakan suhu yang tinggi dalam persekitaran tanpa atau dengan oksigen yang minimum.
Pirolisis merupakan kaedah yang paling sesuai untuk menyahkan sisa yang tidak diperlukan dan menukar sisa tersebut kepada produk bermanfaat iaitu gas, cecair dan serbuk pepejal.
Kaedah tersebut juga tidak menghasilkan bahan atau sisa yang mencemarkan malah mampu menjimatkan tenaga.
Setelah kajian dijalankan, sebatian-sebatian kimia utama seperti alkana, alkena, alkuna, aromatik, alkohol, asid karboksilik dan sebatian-sebatian nitrogen telah dikenal pasti terkandung di dalam minyak bio tersebut.
Bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti minyak bio yang dihasilkan, kumpulan berkenaan telah menggabungkan sisa kumbahan dengan beberapa sisa pertanian seperti sekam dan batang padi, hampas tebu dan hampas kacang soya.
Pemilihan sisa pertanian ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pencemaran udara melalui pembakaran terbuka setiap kali selepas proses penuaian sekali gus membuka peluang perniagaan baru kepada pesawah dan pekebun tebu.
Tambahan pula, minyak bio yang terhasil mempunyai nilai sulfur yang lebih rendah daripada bahan api konvensional.
Justeru itu, minyak bio ini mesra alam dan mampu menjadi bahan alternatif yang sesuai untuk menggantikan bahan api daripada petroleum seperti diesel.
Minyak bio sangat ekonomi untuk digunakan kerana kos penghasilan yang rendah dan sumber penghasilan yang mudah diperolehi.
Bahan mentah yang digunakan adalah daripada sumber bahan yang boleh diperbaharui.
Permintaan terhadap bahan api yang tinggi menyebabkan harga bahan api konvensional semakin meningkat.
Penggunaan minyak bio ini dilihat mampu mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.
Pada masa ini, Dr. Rusnah dan kumpulannya mencari rakan industri yang berminat untuk mengkomersialkan minyak bio tersebut dan ia mampu menjadi bahan api yang setanding dengan bahan api yang sedia ada.
Inovasi ini telah meraih pingat gangsa di pertandingan reka cipta BioMalaysia 2011 anjuran Biotechnology Corporation (BiotecCorp) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tahun lepas.

No comments:

Post a Comment