Sunday, March 11, 2012

menarik pelanggan siber

Menarik lebih pelanggan siber

Oleh HASANI HASSAN

SEMUA orang tahu bahawa setiap perniagaan memerlukan pelanggan. Tanpa pelanggan maka tiadalah urusniaga kewangan yang akan memberikan pulangan pelaburan yang diharapkan. Tetapi bagaimanakah anda menarik pelanggan kepada perniagaan menerusi Internet?

Ramai orang fikir bahawa dengan membina sesuatu laman web maka pelanggan perniagaan mereka akan datang secara automatik.

Sedarlah bahawa itu hanya mitos moden yang sudah tidak relevan ketika ini.

Pernahkah anda terfikir bagaimana seseorang bakal pelanggan tahu kewujudan perniagaan anda dalam dunia siber jika terdapat berbilion laman web di Internet?

Jika anda inginkan bakal-bakal pelanggan perniagaan anda datang mengunjungi laman web, terdapat beberapa perkara yang harus diselesaikan terlebih dahulu.

Enjin carian dan pautan

Perkara pertama yang harus dilakukan apabila laman web anda siap sedia untuk dikunjungi ialah dengan 'memberitahu' kewujudan laman tersebut kepada enjin pencari seperti Google dan Bing.

Cara yang paling mudah ialah dengan memberikan URL laman web anda kepada Google untuk dikunjungi menerusi http://www.google.com/webmasters/tools/submit-url.

Jika Google tahu URL laman web anda, barulah ia boleh mengindekskan kandungan laman anda ke dalam pangkalan data cariannya. Sebaliknya jika tidak, maka laman web anda tidak mungkin akan muncul dalam apa-apa carian di Google.

Google juga menyediakan kemudahan untuk webmaster melalui http://www.google.com/webmasters/tools yang boleh digunakan untuk anda mendaftarkan URL laman-laman web anda kepada Google serta mendapat laporan atau statistik penting mengenai trafik.

Begitu juga dengan enjin pencari Bing, anda boleh gunakan kemudahan Webmaster Bing menerusi http://www.bing.com/toolbox/webmaster.

Bagi enjin carian Yahoo, anda sudah tidak perlu melakukan perkara yang sama kerana Yahoo kini bekerjasama dan berkongsi pangkalan data dengan Bing.

Sementara enjin-enjin carian yang lain tidaklah terlalu kritikal kerana kombinasi Google dan Bing (serta Yahoo) boleh dikatakan sudahpun merangkumi lebih 90 peratus daripada trafik pengguna untuk enjin carian.

Selain mendaftarkan URL ke enjin carian, anda juga wajar mendaftarkan laman web anda ke direktori-direktori yang khusus mengikut bidang-bidang perniagaan yang diceburi.

Senarai direktori yang bersesuaian mengikut bidang perniagaan dan pelanggan sasaran anda boleh sahaja dicari menerusi enjin carian.

Sebahagian besar daripada direktori yang ada di Internet adalah percuma, manakala selebihnya ada mengenakan caj tertentu berdasarkan kelebihan yang ditawarkan.

Kelebihan itu, adalah sama ada direktori itu benar-benar fokus kepada kumpulan sasaran anda ataupun mempunyai kelebihan dari aspek kedudukan ( ranking) enjin carian.

Jika laman web anda didaftarkan dan dipaparkan di laman-laman yang mempunyai kedudukan enjin carian yang tinggi maka ia juga akan memberikan kesan positif kepada populariti laman anda sendiri, sekali gus meningkatkan kebarangkalian laman web anda itu diutamakan dalam hasil carian.

Tujuan mendaftarkan laman web ke dalam direktori selalu adalah berkisar kepada dua sebab utama sahaja, iaitu pertamanya memberi pendedahan laman web anda kepada potensi pengunjung yang merujuk kepada direktori terbabit.

Keduanya adalah untuk meningkatkan 'nilai kewibawaan' laman web anda di mata enjin pencari. Ini kerana pada dasarnya enjin pencari menganggap jika laman web anda dipaut dari laman web lain maka itu menjadi kayu ukur kepada kewibawaannya.

Ini juga bermakna jika lebih banyak laman web lain membuat pautan kepada laman web anda, maka nilai itu lebih tinggi, dan selari dengannya, kedudukan laman web anda juga meningkat.

Kualiti kandungan

Cara yang terbaik untuk meramaikan pengunjung ke laman web anda ialah dengan menyediakan kandungan yang menarik, berguna dan mencetuskan rasa dahagakan maklumat dalam kalangan mereka.

Kandungan yang eksklusif dan tidak boleh dijumpai di tempat lain ataupun lebih baik daripada laman web pesaing juga akan memberikan kelebihan kepada anda.

Secara semulajadi, laman blog atau laman berita adalah jauh lebih popular berbanding laman korporat atau laman berbentuk jualan semata-mata. Hal ini adalah kerana pengguna inginkan informasi dan sesiapa yang boleh menawarkannya akan lebih mendapat perhatian.

Justeru, jika syarikat anda memiliki laman web korporat atau laman web portfolio produk, anda wajar mengintegrasikan laman blog ke dalamnya dan mula memuatkan kandungan yang berkaitan dengan perniagaan anda.

Contohnya, jika syarikat anda menyediakan perkhidmatan kawalan serangga perosak, maka sediakanlah blog dengan hidangan maklumat yang mendidik pengguna tentang bagaimana mencegah dan merawat masalah yang disebabkan oleh serangga perosak itu.

Jika anda menjual produk kesihatan pula, berkongsilah tips-tips kesihatan atau paparkan statistik-statistik yang berkaitan dengan dunia kesihatan.

Ini bukan sahaja menarik minat pelanggan tetapi juga memberikan kelebihan untuk diindekskan oleh enjin carian seperti Google dan Bing.

Artikel yang anda tulis dan muatkan dalam laman blog perlulah berbentuk 'menyelesaikan masalah' yang mungkin dihadapi oleh pengunjung, atau sekurang-kurangnya menghiburkan mereka.

Blog yang kerap dikemaskini juga adalah lebih baik berbanding maklumat yang statik.

Selain artikel, anda juga boleh menggunakan video.

Menghasilkan video bukanlah rumit seperti yang ramai bayangkan, malah anda boleh merakamkan video yang berkualiti hanya menggunakan telefon bimbit anda sahaja, cuma pastikan pencahayaannya adalah cukup.

Video tersebut boleh dimuat naik ke laman YouTube.

Selain video sendiri, anda juga boleh berkongsi video-video tentang topik berkaitan produk atau perkhidmatan anda, yang sedia ada di YouTube atau lain-lain laman video.

Masukkan kod HTML dari laman video tersebut dan taipkan sedikit komen anda mengenai video tersebut sebagai pengenalan.

Video berbentuk testimonial pelanggan juga amat membantu sekiranya anda boleh mendapatkan beberapa orang pelanggan yang telah berpuas hati dengan produk atau perkhidmatan anda untuk berkongsi pengalaman mereka di hadapan kamera.

No comments:

Post a Comment