Monday, June 25, 2012

perlu ramai pelaut tempatan

Malaysia masih perlukan 43,000 pelaut

25 Jun 2012

PELABUHAN KLANG - Malaysia masih memerlukan kira-kira 43,000 pelaut tempatan untuk memberi sokongan kepada industri maritim yang penting di dalam perdagangan antarabangsa, kata Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia, Datuk Kapten Ahmad Othman.

Buat masa ini jumlah pelaut tempatan yang menyertai industri maritim adalah 49,000 orang manakala 43,000 lagi tempat pula diisi oleh pelaut warga asing, katanya dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Pelaut Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, hari ini.

Ini menunjukkan masih lagi banyak peluang kerjaya untuk direbut oleh anak muda tempatan di dalam bidang ini, katanya.

Beliau berkata antara faedah yang boleh didapati sebagai pelaut ialah kemudahan melawat negara luar di mana kapal mereka berlabuh tanpa perlu visa.

Mereka hanya menggunakan Kad Pelaut yang dikeluarkan Jabatan Laut yang mempunyai tempoh sah selama lima tahun untuk pelaut tempatan dan setahun untuk pelaut warga asing yang bekerja dengan kapal Malaysia, katanya.

Ahmad turut melancarkan Kad Pelaut yang baharu tanpa cip dan skim perlindungan insuran kepada pelaut di bawah MAA Takaful.

Beliau juga menyampaikan biasiswa kepada 11 orang pelaut tempatan bagi meningkatkan tahap daya saing mereka sehingga peringkat tertinggi seperti pegawai jurutera atau navigasi.

Pada majlis itu juga beliau menyampaikan cenderahati dan sijil kepada dua pelaut Malaysia Lau Kah Chong, 36 dan Yusseri Yusuf, 24 yang masih belayar dan berkhidmat sebagai pelaut biarpun pernah dirompak oleh selumpulan lanun di Laut China Selatan pada April lepas semasa dalam pelayaran dari Langkawi ke Tawau, Sabah.

Hari Pelaut disambut setiap tahun pada 25 Jun bermula tahun lepas setelah Pertubuhan Maritim Antarabangsa mendedikasikan tarikh itu untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan 1.5 juta pelaut di seluruh dunia ke arah peningkatan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Pelbagai aktiviti sampingan juga diadakan sempena Hari Pelaut termasuk temuduga daripada syarikat perkapalan, taklimat 'Hak Anda Sebagai Pelaut', pameran dari agensi perkapalan dan institut latihan maritim dan pemeriksaan kesihatan percuma. - Bernama

No comments:

Post a Comment