Sunday, July 1, 2012

hukum mewarna

ARKIB : 01/07/2012

Hukum warnakan muka

MEWARNAKAN muka walaupun sekadar untuk menyatakan sokongan adalah dilarang kerana mampu menaikkan ketaksuban selain mengikut amalan umat kafir.
Soalan 1
Ada ketikanya apabila perlawanan membabitkan pasukan negara, terdapat penyokong yang mewarnakan muka mereka mungkin sekadar untuk menyatakan sokongan. Apakah hukum mewarnakan muka?
- Hassan, Muar
JAWAPAN: Agama Islam ialah agama suci lagi murni yang menjaga dan mendukung lima tujuan Syariat iaitu; menjaga agama, menjaga badan, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta. Bersukan adalah salah satu cara untuk menjaga badan yang merupakan sebahagian daripada lima tujuan Syariat Islam. Di zaman Rasulullah SAW sendiri kita dapati pelbagai acara sukan yang dilakukan seperti lumba lari, lumba kuda, memanah dan sebagainya.
Apabila berlakunya acara sukan, adalah merupakan perkara lumrah bila orang yang terlibat itu diberi sokongan oleh orang yang hadir. Ini perkara biasa. Akan tetapi bolehkah sokongan itu dilakukan secara berlebihan sehingga mengabaikan norma-norma Islamik? Inilah yang harus dibincangkan.
Mewarnakan muka untuk memberi sokongan kepada pasukan yang disokong, sebenarnya mempunyai pelbagai aspek. Aspek pertama; warna yang digunakan, jika sekiranya merupakan bahan yang melarang air daripada kulit semasa wuduk maka jelaslah dilarang. Perbuatan ini akan menyebabkan solat penyokong muslim itu tidak sah dek kerana wuduk yang tidak sah.
Aspek kedua; kebiasaannya perbuatan menyokong pasukan dengan mewarnakan muka dan seumpamanya akan menaikkan semangat taksub atau fanatik. Hasil daripada fanatik inilah berlakunya pukul memukul, ejek mengejek dan cela mencela. Adakah ini hasil yang baik? Pasti jawapannya ialah tidak sama sekali. Lebih daripada itu, jika penyokong tidak mewarnakan muka sekalipun, akan tetapi sokongan mereka terhadap kumpulannya mampu menyebabkan pergaduhan disebabkan fanatik, maka hukum asal menyokong yang mubah atau dibenarkan itu bertukar menjadi haram.
Aspek ketiga; asal-usul perbuatan mewarnakan muka dalam memberi sokongan. Perbuatan ini pastinya bukan merupakan warisan daripada umat Islam terdahulu. Justeru, perbuatan ini adalah merupakan ikutan terhadap amalan umat kafir yang tidak wajar diikuti. Ini kerana di sana terdapat hadis yang menjelaskan bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia tergolong dalam kaum itu.
Bertolak daripada tiga aspek ini, dapatlah dirumuskan bahawa mewarnakan muka dengan bahan yang melarang air terkena kulit semasa wuduk adalah haram. Manakala mewarnakan kulit dengan bahan yang tidak melarang air terkena kulit adalah juga haram kerana perbuatan ini merupakan perbuatan orang kafir dan bukan asal-usul perbuatan umat Islam. Seterusnya jika perbuatan mewarnakan muka ini menyemarakkan lagi rasa fanatik maka bertambah-tambahlah status haramnya.
Ingin saya menasihatkan para penyokong muslim sesuatu pasukan itu agar sentiasa menjaga solat mereka. Pergilah untuk menyokong, tetapi solat jangan sekali-kali ditinggalkan. Kedua, jagalah akhlak semasa menyokong. Boleh sahaja menjerit untuk memberi sokongan, tetapi jangan diisi jeritan itu dengan cacian, cercaan dan makian. Ketiga, pergaulan juga harus dijaga dan janganlah terlalu terikut-ikut dengan gelagat penyokong kafir Barat atau Timur yang sememangnya tidak menghiraukan etika pergaulan. Majulah sukan untuk agama, negara dan bangsa.
Soalan 2
Apakah hukum seseorang yang makan ubat untuk menggemukkan atau menguruskan badan atau pun untuk kecantikan. Ini memandangkan terdapat ubat-ubat yang hasilnya belum tentu berkesan tetapi pengguna tertarik terhadap promosi yang dijalankan?
- Noreen, Shah Alam
JAWAPAN: Sebenarnya kecantikan adalah satu perkara yang cukup abstrak dan subjektif. Ada sahaja manusia yang sukakan pasangan yang gemuk sebagaimana ada juga manusia yang sukakan pasangan yang kurus. Apa yang perlu dibicarakan ialah berkaitan dengan cara menggemukkan atau menguruskan badan. Di dalam perkara ini, kaedah yang boleh digunakan ialah hadis Nabi SAW yang mengatakan "Tidak boleh memudaratkan diri sendiri mahupun orang lain." Justeru, perlulah dipastikan terlebih dahulu adakah sesuatu ubat yang dipasarkan itu benar-benar berkesan tanpa mempunyai kesan sampingan yang memudaratkan.
Rasulullah SAW juga telah menjelaskan bahawa individu muslim itu sebagai "kayyis fatin" iaitu bijak lagi cerdik. Orang Islam ialah orang yang sentiasa berpaksikan hujah yang mantap dalam urusan dunia mahupun urusan akhirat. Berkenaan dengan dunia, sebagai contoh, ubat-ubatan ini perlulah diselidik terlebih dahulu apakah ia benar-benar menepati piawaian kementerian kesihatan atau sebaliknya. Pastikan ubat-ubatan itu mempunyai sijil pengiktirafan daripada pihak kementerian kesihatan. Adapun berkenaan dengan akhirat, maka orang Islam sentiasa mencari kepercayaan dan amalan yang berpaksikan dalil yang sahih di samping pendalilan yang tepat.
Soalan 3
Bagaimana adab kita dalam mengendalikan ayat-ayat al-Quran yang kita rekod di dalam cakera padat atau di simpan di dalam komputer riba. Adakah ia sama seperti adab kita mengendalikan al-Quran dalam bentuk sebenar?
- Jusni, Bangi
JAWAPAN: Berkenaan dengan ayat-ayat al-Quran yang ditulis dalam mushaf (buku atau kitab), para ulama telah menjelaskan bahawa ia perlu dijaga dengan baik. Antara cara menjaganya ialah jika ingin pegang maka disunatkan suci daripada hadas besar dan disunatkan juga agar berwuduk. Ada juga ulama yang mewajibkan kedua-dua perkara ini.
Adapun al-Quran yang dimuat naik ke dalam komputer riba mahupun telefon pintar, maka hukumnya berbeza dengan al-Quran yang dicetak dalam mushaf. Perbezaannya ialah al-Quran dalam komputer dan telefon pintar ini merupakan getaran atau vibrasi yang tidak sama hukumnya dengan huruf-huruf al-Quran yang dicetak atau ditulis dalam buku khas atau mushaf.
Justeru, boleh sahaja telefon pintar atau komputer riba ini dibawa bersama untuk masuk ke dalam tandas. Berbeza dengan mushaf al-Quran yang tidak boleh dibawa masuk ke dalam tandas kecuali jika dikhuatiri hilang atau dicuri.
Soalan 4
Pada pandangan Islam apakah dibenarkan seseorang perempuan menggugurkan kandungan dengan nasihat doktor atas alasan disebabkan kecacatan dan penyakit?
- Fauzi, Keramat
JAWAPAN: Perbincangan berkenaan pengguguran amat berkait rapat dengan hadis peniupan roh. Di dalam hadis tersebut, Jumhur ulama mengatakan bahawa roh akan ditiup selepas berlalunya seratus dua puluh hari daripada permulaan kehamilan. Berdasarkan kepada hadis ini, pengguguran dibenarkan dengan beberapa syarat. Pertama, perlu ada nasihat doktor pakar. Kedua, mempunyai sebab yang amat munasabah seperti penyakit yang kronik atau kecacatan yang kronik. Ketiga, mendapat persetujuan pasangan itu. Semoga Allah Taala mengampun segala kelemahan diri kita.

No comments:

Post a Comment