• Abdul Malek (dua, kiri) dan Penasihat Kehormat SAS, Datuk Atikah Adom (tiga, kiri) menunjukkan sebahagian daripada produk mudah urai. Abdul Malek (dua, kiri) dan Penasihat Kehormat SAS, Datuk Atikah Adom (tiga, kiri) menunjukkan sebahagian daripada produk mudah urai.
1 / 1
PERTUBUHAN Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS) bekerjasama dengan empat syarikat termasuk antarabangsa untuk mengkomersilkan produk mudah urai (Biodegradable) di Malaysia.

Syarikat terlibat dalam usaha sama itu termasuklah Greenware Products Sdn Bhd, Shenzhen Hongcai New Material Technology Co Ltd, Terra Maize Sdn Bhd dan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.

Presiden SAS, Datuk Abdul Malek Yusof berkata, produk yang diperbuat daripada serat jagung (corn fibre) itu lebih selamat dan hanya mengambil masa kurang dari setahun untuk terurai berbanding penggunaan beg plastik biasa yang memerlukan kira-kira 400 hingga 1,000 tahun diuraikan.

“Menerusi kerjasama ini, produk mudah urai antaranya bekas makanan dan beg plastik biodegradable boleh didapati di semua rangkaian KK Superstore seluruh Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Pada masa akan datang, kami berhasrat bekerjasama dengan lebih banyak syarikat untuk memasarkan produk ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Produk Mudah Urai (Biodegradable) di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, ketika ini, produk mudah urai dijual pada harga 10 sen lebih tinggi berbanding polisterin, namun ia akan menjadi lebih murah sekiranya ada permintaan ramai.
“Produk mudah urai di Malaysia kurang mendapat sambutan kerana kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai pertubuhan bukan kerajaan, Abdul Malek berkata, SAS akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Malaysia untuk menggalakkan mereka menggunakan produk itu yang menyumbang kepada pengurangan sampah pepejal, persekitaran sihat dan mengelakkan penyakit akibat kawasan tercemar.

“PBT mempunyai kuasa menggazet dan menguatkuasakan penggunaan produk mudah urai ini di bawah pentadbiran mereka.

“PBT sering berhubung dengan peniaga dan ini membolehkan mereka mencadangkan supaya mereka menggunakan produk mudah urai ini,” katanya.

Produk mudah urai itu meliputi cawan, mangkuk boleh guna, dulang makanan, pinggan, bekas makanan, sudu dan garfu.