Monday, November 14, 2011

jalan teknologi baru

JKR guna teknologi baru hindar jalan cepat rosak

MERUJUK kepada Laporan Khas akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 Oktober 2011 bertajuk Teknologi Baharu Tahun Depan. Terima kasih diucapkan kepada pihak Utusan Malaysia yang sudi membangkitkan isu ini serta tidak lupa tokoh akademik yang ditemu bual, Prof. Madya Dr. M. Ratnasamy dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Temu bual itu membangkitkan tiga kaedah penggunaan teknologi dalam pembinaan jalan iaitu Polymer Modified Asphalt (PMA), Porous Asphalt (PA) dan Stone Mastic Asphaltic (SMA). Kaedah ini telah digunakan dalam pembinaan jalan baharu dan penyenggaraan jalan.
Jenis permukaan yang dimaksudkan memang mempunyai kelebihan dan boleh dianggap sebagai teknologi terkini di Malaysia. Kaedah PMA telah digunakan di negara ini sejak 1980-an lagi.
Kaedah ini memberi kelebihan dalam menangani rutting dan memberi cengkaman lebih kuat terhadap batu agregat campuran lapisan jalan. Kaedah ini sangat berkesan di kawasan taburan hujan yang tinggi atau kawasan yang selalu ditenggelami air dan kawasan yang mempunyai beban gandar yang tinggi.
Malah Kementerian Kerja Raya telah menjalankan kajian di lokasi yang menggunakan kaedah PMA seperti laluan mendaki dari Karak ke Bukit Tinggi, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Seksyen 340-345 Jalan Persekutuan 2 di Kuantan.
Kajian ini memberikan keputusan memberangsangkan dan penggunaan PMA terbukti dapat memanjangkan jangka hayat jalan di segmen itu berbanding segmen jalan yang menggunakan turapan asfalt konvensional. Teknologi SMA dan Porous Asphalt juga digunakan oleh JKR sejak 10 tahun lalu.
SMA mula digunakan oleh JKR pada 2001 di Laluan 1, berdekatan Templer Park. Berdasarkan kepada prestasi yang amat baik berbanding bahan asphaltic sebelum ini, SMA digunakan sebagai lapisan haus dalam beberapa projek penyenggaraan Jalan Persekutuan seperti di Jalan Tebrau (2006-2007), Jalan Dabong ke Kemubu, Kelantan pada 2006 khusus bagi menangani beban gandar kenderaan berat di lokasi berkenaan dan banyak lagi lokasi lain.
Pada 2008, JKR mengeluarkan garis panduan Standard Specification For Road Works, JKR/SPJ/ 2008-S4 yang mengandungi spesifikasi khusus mengenai penggunaan teknologi terkini termasuk ketiga-tiga kaedah ini dalam pembinaan yang berkait rapat dengan turapan jalan bagi kegunaan di Malaysia dan diguna pakai di lokasi yang sesuai.
Menyedari peningkatan jumlah trafik saban tahun, maka inovasi dan kaedah baru dalam pembinaan bukan sahaja diperkayasakan malah satu penetapan dasar yang jelas telah dilaksanakan di kementerian.
Pada 2010, kementerian melancarkan dasar penggunaan lima peratus PMA dalam pembinaan jalan baru dan penyenggaraan jalan. Namun, hakikatnya bagi penggunaan ketiga-tiga kaedah ini, secara amnya ia melibatkan kos yang lebih tinggi iaitu satu setengah kali ganda daripada kaedah konvensional. Justeru pelaksanaan kaedah ini dilaksanakan mengikut keutamaan kepada jalan yang mempunyai beban gandar atau jumlah trafik yang tinggi.
Mengenai kos penyenggaraan yang dibangkitkan, berdasarkan kepada data Bank Dunia, tahap kualiti sesuatu jalan akan mula merosot sebaik dibuka kepada lalu lintas dan ketara selepas tujuh tahun.
Justeru, Bank Dunia menyarankan supaya tahap kualiti jalan tersebut diperkukuhkan melalui kerja penurapan semula. Sekiranya kerja penurapan semula tidak dilaksanakan pada tahun ketujuh, kerosakan jalan akan menjadi semakin serius dan perlu dibaik pulih melalui kerja separa pembinaan semula. Kos penyelenggaraan akan meningkat empat hingga lima kali ganda.
Kesimpulannya, kementerian akan sentiasa memantau dan terus melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan secara optimum dengan menggunakan prinsip 'nilai terbaik untuk wang' bagi menyelenggara jalan Persekutuan sepanjang 16,946 kilometer di seluruh negara.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment