Sunday, November 6, 2011

tanpa cukai kena sita

Penunggang 'koboi' tumpas


ANGGOTA JPJ memeriksa cukai jalan sebuah kereta dalam operasi pemeriksaan di Batu Berendam, Melaka kelmarin.


MELAKA - Seorang penunggang motosikal 'koboi' yang sudah 10 tahun tidak memperbaharui cukai jalan akhirnya menerima padah apabila ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kelmarin.
Pengarah JPJ negeri, Mohd. Fadhil Hassan berkata, semasa ditahan, lelaki berusia 30-an yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ itu mengaku telah menggunakan motosikal berkenaan tanpa cukai jalan dan insurans sejak lebih 10 tahun lalu.
Menurut beliau, lelaki yang ditahan di persimpangan lampu isyarat Batu Berendam berhampiran bangunan Sirim itu cuma memberi alasan tidak mampu membeli perlindungan insurans.
"Berikutan itu kita mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Operasi JPJ kelmarin yang bermula pukul 4.30 petang dan berakhir 9.30 malam itu diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, Rahmat Sayoti bersama 50 pegawai dan anggota.
Mohd. Fadhil berkata, dalam operasi berkenaan 25 kenderaan disita iaitu membabitkan 23 buah motosikal dan dua buah kereta atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh lebih daripada setahun.
"Sebanyak 149 saman pula dikeluarkan atas kesalahan pemandu tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh kurang daripada setahun.
"Kita turut mengeluarkan 31 notis arah periksa yang melibatkan kesalahan menggunakan cermin gelap," katanya.
Menurutnya, semua saman berkenaan dikeluarkan di bawah peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi susulan selepas pelaksanaan Ops Sikap pada musim perayaan lepas.

No comments:

Post a Comment