Wednesday, December 14, 2011

industri makanan

Industri makanan makin maju


Para pelajar menunjukkan aneka kek dan hiasan pastri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bachok, baru-baru ini.


BACHOK 14 Dis. – Industri hospitaliti melibatkan sektor penyediaan makanan adalah bidang yang kian berkembang pesat di seluruh dunia.
Individu yang berkemahiran dalam bidang itu kini berpotensi mendapatkan pekerjaan berasaskan permintaan tenaga sumber manusia atau paling tidak mereka berupaya memulakan perniagaan sendiri.
Permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja itu terbukti apabila Wilayah Iskandar Malaysia dilaporkan memerlukan lebih 12,000 tenaga dalam bidang itu menjelang 2025 sejajar dengan perkembangan di koridor berkenaan.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) pula memerlukan lebih 25,000 tenaga tempatan di seluruh negara.
Malah, di Kelantan tenaga kerja itu diperlukan untuk memenuhi permintaan hotel-hotel dan restoran terkemuka tempatan.
Menyahut keperluan itu, Sekolah Teknologi Makanan adalah salah satu dari tiga jurusan utama di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok dengan menawarkan kursus kemahiran yang sangat popular di kalangan wanita dan turut disertai pelatih lelaki yang berminat mempelajari kemahiran berkaitan.
Pengarahnya, Engku Aziz Engku Mat berkata, latihan yang didedahkan di IKBN lebih menjurus kepada keupayaan pelatih menguasai kemahiran untuk ke gerbang kerjaya yang memang diperlukan di seluruh negara.
Selain Sekolah Teknologi Makanan katanya, IKBN Bachok turut menawarkan kursus automotif dan binaan awam yang turut menjadi perhatian sektor perindustrian dan perkilangan seluruh negara.
“Ini menepati Piagam Pelanggan IKBN iaitu memastikan semua bekas pelatihnya mendapat pekerjaan sesuai dengan bidang kursus dalam kadar segera selepas menamatkan pengajian dan tidak menganggur dalam tempoh yang lama,“ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Engku Aziz berkata, penganjuran Program Gerbang Pekerjaan yang dianjurkan oleh IKBN setiap tahun melibatkan sebilangan besar pengusaha restoran terkemuka, sektor perkilangan dan perindustrian adalah sebahagian usaha untuk menawarkan tenaga kerja kepada pihak terbabit.
Beliau berkata, antara jurusan paling diminati ialah kemahiran penyediaan makanan yang secara khusus melatih peserta secara teori dan amali mengenai kaedah memasak makanan Barat dan Timur.
“Kemahiran ini juga boleh dimanfaatkan oleh pelatih untuk tampil sebagai usahawan makanan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) selepas menamatkan kursus di IKBN sekiranya tidak berminat untuk bekerja di hotel atau di restoran,” katanya,
Pelatih tahun akhir jurusan itu, Norsyamimi Hassan, 20, berkata, bidang yang paling menarik baginya ialah mempelajari kaedah mengukir buah-buahan yang mendapat permintaan untuk majlis kenduri perkahwinan atau jamuan makan di hotel lima bintang.
“Bayangkan betapa indahnya apabila buah tembikai, timun, betik dan lain-lain digubah menjadi sejambak bunga yang menarik. Ia menyerlahkan nilai seni yang tinggi. Kebanyakan pelatih tidak melepaskan peluang untuk mengusai kemahiran ini,” katanya.
Selain itu katanya, seni menghias makanan, pengurusan dapur dan cara mengendali majlis-majlis tertentu adalah subjek yang perlu dipelajari bagi melengkapkan kemahiran yang diperlukan.
Katanya, pelatih akan dinilai berdasarkan keterampilan dari aspek pengetahuan, kemahiran, kelakuan, kebersihan, keselamatan dan kebolehan melaksanakan kerja amali untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Bagi Nur Amimi Abdul Kadir, 19, kursus disertainya banyak membantu meningkatkan kemahiran dalam bidang penyediaan makanan dan berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan sarjana bagi memenuhi cita-citanya menjadi seorang chef berjaya.
“Saya akan memanfaatkan SKM yang diperoleh nanti untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selepas tamat kursus yang diikuti selama setahun di IKBN,” katanya.

No comments:

Post a Comment