Tuesday, December 6, 2011

saluran tv baru

Menunggu kelahiran siaran TV baru ABN

RAM Terengganu

MENJELANG tahun 2012, rakyat Malaysia mempunyai dua akses alternatif hiburan dan maklumat, pertamanya melibatkan syarikat separuh kerajaan iaitu Unifi oleh TM manakala satu lagi adalah ABN sebagai penyedia akses siaran kabel gentian optik.

Diharapkan dua syarikat berkenaan dapat memperkenalkan beberapa pakej yang menarik dan menjimatkan untuk pengguna.

Apa yang amat menarik perhatian ramai adalah keberanian syarikat ABN menyahut cabaran sebagai penyedia akses TV kabel yang mana sudah pun ada syarikat sebelum ini telah mencuba nasib dalam bidang ini namun gagal. Mungkin juga pakej yang diperkenalkan itu tidak mesra pengguna atau tidak berbaloi setiap sen yang pengguna bayar dengan kadar penggunaan.

Maka itu, faktor tidak mesra pengguna atau terlampau berkos tinggi merupakan satu taboo dalam dunia pasaran bebas kini kerana penggunalah yang memainkan peranan dalam menentukan untung rugi satu syarikat dalam jangka panjang.

Beberapa jalan keluar boleh dilakukan oleh pihak ABN bagi menangani masalah untuk menarik perhatian rakyat Malaysia melanggan lebih ramai. Pertama, memperkenalkan konsep prabayar yang minimum seperti caj aktif visi perkhidmatan sebulan cuma sebanyak RM20. Caj penggunaan perkhidmatan servis siaran ABN dicadangkan sekitar 50 sen sejam.

Jika purata bulanan penggunaan servis siaran ABN selama 100 jam sebulan, maka keseluruhan perlu dibayar cuma RM70. Nilai caj yang disyorkan tersebut cumalah sebagai contoh. Berkemungkinan kadar yang lebih murah dapat diperkenalkan di alam nyata mengikut populariti rangkaian yang ditawarkan.

Kedua, masalah liputan perkhidmatan siaran yang terhad kerana ABN menggunakan jalur lebar kabel optik. Sebagai langkah jangka pendek dan sederhana, disarankan pihak ABN bekerjasama dengan penyedia jalur lebar 4G sedia ada untuk mengadakan keluasan liputan siaran servis ABN. Lagipun prasarana 4G sehingga kini amat kurang digunakan oleh rakyat Malaysia.

Masih terdapat banyak ruang kosong dalam spektrum 4G yang boleh diisi selain daripada komunikasi internet. Teknologi siaran tanpa wayar 4G boleh dianggap sebagai siaran satelit terestrial yang jauh lebih cekap dan berkesan daripada teknologi siaran TV satelit sedia ada di mana masih menggunakan teknologi lama pertengahan 1990-an.

Manakala pemeringkatan teknologi kepada 4.5G dan 5G adalah mungkin pada waktu terdekat ini menawarkan perkhidmatan jalur hiper hampir setaraf dengan kelajuan laser optik.

No comments:

Post a Comment