Thursday, May 17, 2012

potensi politeknik

ARKIB : 16/05/2012

Tingkat pasaran pelajar politeknik

Abdul Rahim Ahmad (dua dari kiri) melihat Galeri Seni Bina di Politeknik Port Dickson, Telok Kemang, kelmarin.
TELOK KEMANG 15 Mei - Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan peningkatan kadar kebolehpasaran siswazah politeknik di seluruh negara mencecah 85 peratus menjelang 2015.
Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pengajian Politeknik kementerian, Abdul Rahim Ahmad berkata, sasaran itu selari dengan pelaksanaan program transformasi politeknik yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan.
''Ini termasuk inisiatif kita menawarkan jurusan serta bidang pengajian mengikut pasaran kerja semasa. Setiap tahun antara 70,000 hingga 80,000 siswazah dilahirkan menerusi 30 politeknik seluruh negara.
''Sasaran itu dilihat mampu dicapai berdasarkan statistik Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia selepas melawat Galeri Seni Bina di Politeknik Port Dickson, di sini semalam.
Jelas Abdul Rahim, berpandukan kajian tersebut, sebanyak 66.7 peratus siswazah berjaya mendapat pekerjaan serta melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi pada 2009.
''Lebih membanggakan peratusan itu meningkat pada kadar 71.1 pada 2010.
''Ini membuktikan bahawa permintaan dan keperluan tenaga kerja siswazah politeknik amat memberangsangkan di negara ini," katanya.
Sementara itu, rata-rata siswazah politeknik melahirkan rasa gembira berikutan wujud peluang pasaran kerja sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian masing-masing.
Salah seorang siswazah Politeknik Port Dickson, Helmie Shah Hashim mengakui, dia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pekerjaan sejurus menamatkan pengajiannya.
''Sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya tidak perlu tunggu lama untuk bekerja sebagai juru audio visual di Jabatan Penerangan.
''Saya amat bersyukur kerana dapat menyambung pengajian saya di sini dan ini juga disebabkan faktor jurusan ditawarkan mempunyai permintaan kerja yang tinggi di pasaran," katanya.
Seorang lagi lepasan politeknik, Muhammad Nur Afiq, 25, berkata, dia amat gembira kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk bekerja di Telekom Malaysia (TM) Senawang, dekat sini.
''Sebelum ini, saya mengikuti pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Elektronik. Terima kasih kepada ibu bapa, semua tenaga pengajar serta rakan yang banyak membantu saya semasa belajar dahulu," katanya.
Mohd. Sofian Mohd. Shariff, 26, pula memberitahu, dia menerima tawaran bekerja sebelum menghadiri sesi konvokesyen lagi.
''Saya mendapat tawaran bekerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai juruteknik sejurus sahaja tamat pengajian.
''Syukur kerana lepasan politeknik seperti saya ini mendapat permintaan yang tinggi termasuk di sektor swasta," katanya.
Bagi Mohd. Faiz Hamdan, 22, siswazah masa kini seharusnya tidak memilih pekerjaan kerana persaingan amat tinggi.
''Kita seharusnya menggunakan sebaik-baiknya peluang yang ditawarkan kepada kita," katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik.
Rakannya, Khairzuan Johana Kamarulzaman, 22, berkata, keupayaan serta kemampuan untuk bekerja ketika menjalani latihan praktikal juga menjadi faktor kelebihan siswazah diambil bekerja.
''Saya tidak sangka sebaik sahaja menamatkan pengajian, syarikat yang juga tempat saya menjalani latihan praktikal itu menawarkan saya jawatan tetap kepada saya," katanya.

No comments:

Post a Comment