Monday, March 18, 2013

pakar mesin

ARKIB : 25/02/2013

Mesin bantu kerja ladang

Alat penugal nanas dua roda merupakan ciptaan terkini Sopa Yahya.
ABAH, cubalah menghasilkan mesin untuk kegunaan sendiri atau bekerja di bengkel." Mungkin itu kata-kata azimat yang dipegang oleh pesara tentera, Sopa Yahya, 60, sehingga dia berjaya menghasilkan puluhan mesin sehingga ke hari ini yang dimanfaatkan untuk kerja-kerja harian.
Menurut Sopa, dia mempunyai dua anak dan anak bongsunya yang bekerja sebagai jurutera marin menggalakkannya menceburi kerja-kerja penghasilan mesin selepas bersara daripada perkhidmatan tentera.
Sopa yang bersetuju dengan cadangan dan gesaan anak lelakinya itu memanfaatkan minat dan kepakarannya bekerja di bengkel dan melaburkan wang simpanannya untuk membangunkan pelbagai jenis mesin sehingga ke hari ini.
Katanya, bersara sebagai bekas tentera tidak semestinya memasuki fasa berehat kerana bagi Sopa, niat dan minat sudah ada tersemat dalam diri sejak dalam tentera lagi.
''Sebelum ini (sebelum memasuki perkhidmatan tentera) saya membantu ayah dalam bidang pertanian.
"Dia selalu menggesa saya membuat kerja-kerja merumput pada awal pagi yang akhirnya mendorong saya memikirkan bagaimana melakukannya dengan lebih cepat," ujar Sopa yang tidak menghiraukan rintangan perlu dilalui untuk mencapai tahap sekarang.
Anak jati Muar Johor itu tidak betah duduk di rumah tanpa membuat sebarang kerja sedangkan tekadnya untuk menghasilkan sesuatu untuk memperbaiki taraf hidup sentiasa ada.
Dia menyertai tentera pada 1972 sebelum menamatkan perkhidmatan 1993.
Ketika itu dia telah memulakan projek penanaman nanas seluas enam hektar di kampung halamannya di Parit Kemin, Air Hitam, Muar Johor.
Didorong oleh minat dan sokongan anaknya serta usaha tanpa jemu, dia berjaya menghasilkan mesin penugal nanas (sebaris) pada 1995, sekali gus merealisasikan harapannya selama ini untuk mencari jalan penyelesaian dalam menyempurnakan kerja-kerja di ladang.
Tidak cukup dengan itu, pada 2001, dia berjaya menghasilkan mesin penugal nanas untuk kerja-kerja dua baris bagi membantu mempercepatkan aspek penanaman.
Mesin berkenaan amat menarik kerana dengan jarak lubang penanaman 19 inci x 14 inci, kerja yang membabitkan antara 250 dan 400 lubang boleh diselesaikan hanya dalam tempoh seminit.
Sedangkan kaedah manual bagi jumlah yang sama memerlukan 33 orang pekerja.
''Saya hanya memikirkan untuk menghasilkan mesin dengan cara sendiri menggunakan imaginasi, kerana saya pun minat bidang ini," ujarnya yang telah menghasilkan tidak kurang lapan jenis mesin setakat ini.
Mesin berkenaan dihasilkan dengan kos RM7,000 dan tidak menggunakan enjin dan tempahan boleh siap dalam tempoh dua minggu.
Katanya, sambutan yang diterima terhadap mesin berkenaan amat menggalakkan.
Ditanya sama ada, dia pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak, Sopa yang turut mendapat galakkan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), penghulu kampung serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Md. Ali, memberitahu, dia masih menunggu sekiranya ada pihak sudi menghulurkan bantuan dalam pembangunan mesin.
Dalam pada itu Sopa berharap, kerajaan memberi sokongan kepada pereka cipta tempatan dengan menyediakan dana bagi menggalakkan lebih banyak ciptaan dihasilkan.
Katanya, dengan adanya dana reka cipta, kos untuk menghasilkan mesin sebagai contoh, dapat dikurangkan dan dengan itu, dapat dijual pada harga yang murah.
Pada masa sama, pereka cipta perlu diberi bimbingan dan tunjuk ajar.
Inovasi Sopa itu berjaya memenang Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2012 bagi kategori Akar Umbi pada tahu lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20130225/st_02/Mesin-bantu-kerja-ladang#ixzz2Nw5gL200
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment