• Antara kemalangan yang pernah berlaku di Bukit Belah. Antara kemalangan yang pernah berlaku di Bukit Belah.
1 / 1
KEMALANGAN merupakan antara punca utama kematian di seluruh dunia, malah menjadi kejadian cukup ditakuti masyarakat serta mampu menghantui dan menimbulkan trauma kepada mangsa juga keluarga.

Hakikatnya kemalangan berlaku setiap hari di sekeliling kita sama ada disedari atau tidak dan antara lokasi sering berlaku kemalangan di Machang adalah kawasan Bukit Belah.

Jalan berselekoh di kawasan itu dikatakan punca utama kemalangan apabila kebanyakan pengguna sering mengalami kemalangan ketika memandu bersendirian atau terbabas.

Namun bagi Mohamad Hassan, keadaan jalan bukan satu-satunya punca kerap berlaku kemalangan di kawasan berkenaan sebaliknya sikap pengguna jalan raya yang suka memandu laju turut menyumbang kepada masalah tersebut.

"Kemalangan bukan hanya tertumpu di kawasan selekoh itu, tetapi bermula dari Simpang Joh, sehingga simpang empat susur keluar ke Batu 25. Keadaan jalan di situ bukan saja berselekoh, malah kedudukan jalan agak senget dan tiada bahu jalan.

"Pihak berwajib perlu melakukan sesuatu dan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu termasuk memastikan kenderaan dipandu mengikut had laju ditetapkan," katanya.

Kereta terbang

Mohamad berkata, guard rail juga perlu dipasang sepanjang selekoh tersebut bagi mengelak kejadian kereta jatuh dalam longkang.

Menurutnya, kebanyakan kenderaan terbabas di situ kelihatan seolah-olah terbang dan masuk ke dalam longkang.

"Walaupun tidak semua kes membabitkan kemalangan maut, namun kemalangan di kawasan ini kerap berlaku terutama setelah laluan empat lorong dibina bermula di depan Masjid Batu 23 beberapa tahun lalu dan tindakan sewajarnya perlu diambil segera," katanya.

Sementara itu, Wan Zainol Karman Wan Omar meminta pihak berwajib membuka semula jalan lama ke Batu 25 bagi kedua-dua laluan untuk kemudahan dan keselamatan orang-ramai.

Katanya, jalan tersebut perlu dilebarkan dan dilengkapkan dengan ciri keselamatan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya si kawasan simpang empat susur keluar berdekatan.

"Dulu kemalangan banyak berlaku di simpang tiga jalan tersebut dan sekarang apabila ia ditutup, kemalangan banyak berlaku di simpang empat, iaitu susur keluar yang dibuka sebagai alternatif jalan ditutup itu.

"Simpang tiga perlu dilebarkan dan dibina mengikut spesifikasi betul. Bina susur Y dan saya percaya ia lebih selamat serta mampu kurangkan kemalangan. Pernah berlaku sehingga empat kemalangan dalam masa sehari dan ia membimbangkan penduduk serta pengguna jalan raya," katanya.

Wan Zainol Karman berkata, garisan kuning juga perlu disediakan dengan lebih banyak bermula dari Simpang Joh ke simpang empat susur keluar jalan itu bagi memastikan pemandu memperlahankan kenderaan kerana di kiri kanan jalan merupakan kawasan penempatan penduduk," katanya.

Unsur mistik

Seorang penduduk, Abdul Rahman Mamat menceritakan, ada dalam kalangan pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya mendakwa nampak jalan ke laluan lain di kawasan jalan berselekoh menyebabkan mereka terbabas.

Katanya, tidak kurang juga ada dalam kalangan pengguna jalan raya mendakwa melihat orang melintas dan pelbagai lagi kejadian yang boleh dianggap mistik, namun perkara itu tidak pernah diperbesarkan.

"Kemungkinan besar pemandu mengantuk menyebabkan mereka nampak macam-macam. Jalan berselekoh di sini menyebabkan mereka mudah terbabas jika tidak menumpukan perhatian ketika memandu.

"Kami berterima kasih kepada pihak terbabit kerana memasang lampu jalan sejak beberapa bulan lalu bagi membantu penglihatan pemandu pada waktu malam," katanya.