Thursday, May 30, 2013

gas sisa sawit

ARKIB : 20/05/2013

Bahan sisa sawit untuk hasilkan gas

POME dimanfaatkan bagi menghasilkan gas yang boleh menggerakkan turbin untuk janaan elektrik.
KEDUDUKAN Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia dan kawasan penanaman yang luas sehingga lima juta hektar memberi banyak kelebihan kepada negara.
Di samping penjanaan hasil minyak sawit sehingga dikatakan mencecah nilai RM90 bilion pada tahun lepas, industri komoditi terbabit juga menawarkan nilai ekonomi sampingan yang tidak kurang pentingnya.
Ramai mengetahui industri sawit juga menawarkan pelbagai peluang menjana industri hiliran hasil daripada sisa buangannya seperti bahan buangan sawit sisa kilang (POME) dan juga tandan sawit kosong.
Mereka yang berada di luar industri sawit mungkin tidak begitu memahami masalah penghasilan bahan sisa kilang ini yang mengandungi lignocellulosic, iaitu karbohidrat bercampur minyak serta mendakan koloid yang mengandungi antara 95 dan 98 peratus air, serta lima peratus pepejal.
Kehadirannya menyebabkan peningkatan COD atau chemical oxygen demand sehingga 65,500 miligram seliter (mg/L) manakala permintaan oksigen (BOD) sehingga 26,3000 mg/L..
POME juga sangat bersifat asid atau asidik pada nilai pH antara 3.8 dan 4.5 dengan warna coklat dengan suhu hampir 75 darjah Celsius.
Berdasarkan kriteria-kriteria berkenaan POME disifatkan sebagai sangat membebankan alam sekitar, serta memerlukan kawasan kolam yang luas untuk menyimpannya yang mungkin menyamai keluasan padang bola sepak.
Pada masa sama pula tempoh masa untuk menyimpan dan merawatnya hampir mencecah dua bulan dan ini menjadikan POME dianggap sangat berpotensi sebagai agen pencemar sungai di negara ini manakala keberkesanan untuk merawatnya tidak begitu konsisten.
Bayangkan pula jika terdapat sikap pemilik kilang yang tidak bertanggungjawab menyalurkan sahaja POME berkenaan terus ke sungai tanpa merawatnya terlebih dahulu yang akhirnya membawa bencana besar kepada alam sekitar khususnya persekitaran akuatik.
Sebab itulah banyak universiti yang mengambil inisiatif untuk menukarkan POME dari menjadi bebanan kepada pengilang dan seterusnya kepada alam sekitar dengan menjalankan penyelidikan bagaimana sisa kilang sawit itu sebenarnya boleh diangkat martabatnya sebagai bahan dagangan yang lebih bernilai.
POME antara yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan buangan yang boleh menjana kekayaan atau waste to wealth sama melalui satu proses kepada bentuk lain atau menukar POME itu sendiri kepada bahan berguna.
Satu daripada teknologi yang diperkenalkan oleh sebuah universiti tempatan ialah penghasilan gas metana daripada POME yang boleh menggerakkan turbin wap, sekali gus menjana elektrik yang boleh disalurkan kepada grid.
Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam UMP, Prof. Madya Dr. Zularisam Abdul Wahid yang menjalankan penyelidikan tersebut berkata, belum ada kajian yang begitu berkesan dan seumpamanya di negara ini yang mana sisa sawit tersebut dirawat untuk menjana tenaga alternatif.
Rawatan tersebut kata beliau menggunakan kalsium oksida (Cao-CKD) bagi meningkatkan granulasi enap cemar dan penghasilan gas boleh diperbaharui iaitu metana bagi rawatan POME berkenaan.
Beliau berkata, penyelidikan tersebut yang mengambil masa selama empat tahun bermula 2008 dan siap tahun lepas bertujuan memanfaatkan bahan buangan tersebut .
Penyelidikan berkenaan dijalankan dengan mencampurkan kalsium oksida sebagai bahan alkali bagi menaikkan pH (tahap keasidan) daripada debu simen buangan pada dos yang optimum bagi meneutralkan POME berkenaan.
Apabila bakteria yang sesuai dicampurkan ke dalam reaktor, gas metana akan dihasilkan.
Di samping meningkat tahap keasidan POME agar sesuai dengan aktiviti bakteria, bahan kalsium oksida yang kaya dengan pelbagai mineral seperti kalsium oksida (CaO), magnesium oksida (MgO), kalium oksida (K2O), aluminium oksida (Al2O3) dan lainnya juga mampu membekalkan nutrien tambahan kepada tumbesaran bakteria. CaO atau CKD (cement kiln dust) ialah habuk simen buangan dari kuari simen.
“Penggunaan kalsium oksida ialah bertujuan untuk menggandakan formasi sel granul anaerobik melalui perkembangan granulasi enap cemar dan proses methanogenesis dengan pantas.
Hasil aplikasi teknologi hijau ini mampu merangsang pertumbuhan granulasi anaerobik sehingga tujuh kali ganda berbanding tanpa kalsium oksida.
Maka teknologi berkenaan secara tidak langsung mampu menjana gas metana sehingga lapan kali ganda berbanding kaedah konvensional dan penurunan bebanan COD, POME sehingga dua kali lebih tinggi.
“Proses rawatan POME yang dulunya memerlukan satu hingga dua bulan boleh dikurangkan kepada antara empat dan tujuh hari sahaja," katanya yang menjalankan penyelidikan tersebut bersama penyelidik lain termasuk Dr. Anwar Ahmad, Dr. Mimi Sakinah dan Dr. Rumana Ghufran.
Beliau berjaya menghasilkan mesin bagi menghasilkan metana dengan kejayaan teknologi rawatan POME tersebut yang berupa sebuah reaktor ( UASB) atau Reaktor Balutan Enap Cemar, Anaerobik dengan kos yang lebih rendah lebih organik dan menghasilkan tenaga dalam bentuk biogas.
Lebih ekonomik
Mesin UASB yang dihasilkan amat menarik kerana lebih kecil, mudah alih kos efektif dan kesan penghasilan gas serta rawatan yang lebih baik berbanding kaedah konvensional yang perlu keluasan sehingga dua padang bulan dan memerlukan masa satu hingga dua bulan rawatan manakala kualiti efluen yang tidak stabil.
Dapatan kajian yang paling menarik ialah dapat meningkatkan pertumbuhan granul lebih tujuh kali berbanding kaedah konvensional serta penghasilan metana lebih lapan kali ganda.
Penghasilan metana ini boleh digunakan bukan sahaja untuk elektrik domestik tetapi juga sesuai untuk automasi, bahan bakar, dan tenaga buangan air.
Beliau berkata, pada hari ini, industri tenaga bernilai RM15 trilion manakala industri rawatan POME bernilai RM500 juta yang melibatkan 438 kilang di negara ini.
Lebih menarik, elektrik yang dijana daripada teknologi tersebut boleh dihantar ke grid utama penghantaran bekalan elektrik sebagai alternatif kepada sistem sedia ada .
Malah teknologi tersebut yang mungkin pertama di dunia lebih ekonomik dan mesra alam kerana memanfaatkan bahan buangan berkarbon.
Penyelidikan tersebut kata beliau boleh dipercayai yang pertama di dunia berdasarkan rekod penerbitan dan paten serta keputusan kajian paten.
Menurut Zularisam, hasil kajian beberapa jurnal yang berimpak tinggi menunjukkan penyelidikan tersebut adalah yang pertama dijalankan melibatkan penggunaan habuk buangan simen yang dimanfaatkan sebagai bahan penukar keasidan dan nutrien kepada bakteria penghasil metana.
Dengan penggunaan POME yang maksimum , kilang minyak sawit tidak lagi perlu menyediakan kawasan yang luas untuk menyimpan POME dan membiarkannya mencemarkan alam dengan bau serta larut resap.
Menurutnya lagi , untuk tujuan yang sama, semua jenis POME boleh digunakan selagi bahan buangan tersebut mempunyai sumber karbon yang mencukupi bagi membolehkan bakteria menukarkannya kepada gas metana iaiutu pada paras sekurang-kurangnya COD 20,000.0 mg/L dan ke atas.
Oleh itu, kata Zularizam, beliau mahu mengaplikasi teknologi tersebut di semua 438 kilang sawit yang ada di negara ini dan di peringkat awal, beliau mahu memulakannya dengan dengan sebua kilang sawit yang berpotensi.
Mana-mana kilang sawit yang berminat memerlukan kemudahan antara lain loji rawatan CaO Anaerobic Granulation-Biogas yang terdiri dari tangki pengumpulan POME , CaO-CKD , UASB, kebuk pembakaran , turbin wap dan saluran ke grid.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130520/ag_01/Bahan-sisa-sawit-untuk-hasilkan-gas#ixzz2UotXRsGP
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment