Tuesday, June 4, 2013

biji balak

Kumpul 3,000 kg biji benih balak
Aswany Omar
2 Jun 2013
Kumpul 3,000 kg biji benih balak
Kakitangan Unit Fenologi Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau mengumpul biji benih meranti bumbung di Hutan Simpan Balok, Kuantan.
Kuantan  -   Pusat Perolehan Biji Benih Lentang, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), berjaya mengumpul lebih 3,000 kilogram (kg) biji benih pelbagai spesies pokok balak seperti cengal, meranti dan keruing sepanjang tahun lepas.

Pegawai Ladang Hutan, Samsudin Sueet berkata, dalam tempoh empat bulan tahun ini pihaknya berjaya mengumpul lebih 330 kg biji benih pokok balak menerusi aktiviti memanjat di seluruh negara.

Menurutnya, semua biji benih berkenaan diperoleh menerusi kaedah memanjat pokok menggunakan tali yang dilakukan 12 kakitangan Unit Fenologi JPSM bagi mendapatkan biji benih berkualiti selain peratusan cambah yang lebih tinggi.

“Aktiviti mengumpul biji benih dan semaian hanya membabitkan kira-kira 50 spesies pokok balak, buah-buahan hutan, herba dan hiasan. Beberapa proses perlu dilakukan sebelum biji benih disemai dan diedarkan.

“Tahun lalu kita berjaya mengeluarkan lebih 74,000 anak pokok membabitkan spesies pokok balak, buah-buahan, herba dan hiasan yang diedarkan kepada sekolah, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan perhutanan negeri,” katanya.

Samsudin berkata, usaha menambah jumlah anak pokok terutama balak sentiasa dilakukan bagi memenuhi permintaan yang sentiasa bertambah.

Katanya, setiap bulan Unit Fenologi Lentang dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau akan melakukan aktiviti memungut biji benih di seluruh negara bagi mengumpul seberapa banyak benih tanaman terbabit.

Samsudin berkata, semua kakitangan yang terbabit dengan aktiviti memanjat memiliki lesen khas dan selain berpengalaman luas dengan tugas berkenaan, mereka juga turut mengikuti latihan kecekapan setiap tahun.

“Usaha menambah kakitangan yang mahir dengan aktiviti memanjat kini giat dilakukan bagi mengisi kekosongan disebabkan pertukaran dan faktor usia.

“Pusat Perolehan Biji Benih Lentang, Bentong yang muncul sebagai pusat pengeluaran benih pokok balak pertama di negara ini akan terus berusaha menambah jumlah pengeluaran bagi memenuhi permintaan," katanya

Kata Samsudin, beberapa usaha kini dilakukan seperti menambah jumlah kakitangan selain menggunakan mesin khas untuk mengisi tanah dalam polibeg malah dengan adanya mesin berkenaan jumlah pengeluaran benih terutama pokok balak akan bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini.

No comments:

Post a Comment