Monday, June 10, 2013

tip nak menghadiri temuduga

Perkara Yang PERLU & JANGAN Dilakukan Ketika Temuduga

Perkara yang PERLU dan JANGAN dilakukan ketika temu duga.

1. Pastikan anda cari dulu lokasi temu duga sebelum hari sebenar anda perlu menghadirinya. Ini bagi mengelakkan anda tersesat atau tiba lewat pada hari berkenaan. Anda perlu sampai ke lokasi sekurang-kurangnya 10 minit sebelum waktu yang ditetapkan. Kelewatan adalah perkara yang paling tidak boleh diterima dalam temu duga. Jika ia tidak dapat dielakkan, sila hubungi dan maklumkan mengenai kelewatan anda.
2. Kaji dan kenali jenis temu duga pekerjaan yang anda akan hadiri. Buat persediaan dan berlatih untuknya. Namun, jangan menghafal atau terlebih berlatih hingga cara anda menjawab nanti kelihatan dibuat-buat. Semak soalan lazim temu duga yang terdapat dalam panduan temu duga.
3. Beri salam hormat kepada penyambut tetamu atau pembantu syarikat tempat anda memohon kerja. Di sinilah anda dapat menampilkan tanggapan pertama (first impression) yang baik.
4. JANGAN mengunyah gula-gula getah ketika sesi temu duga.
5. Jika diberikan borang permohonan kerja, isi dengan kemas, lengkap dan tepat.
6. Bawa salinan resume untuk dirujuk penemuduga. Lebih baik jika anda sertakan bersama portfolio kemahiran kerja anda.
7. JANGAN terlalu bergantung kepada borang permohonan dan resume untuk menampilkan kebolehan anda. Tidak kira bagaimana hebat pun anda dari segi akademik untuk jawatan yang dipohon, anda masih perlu mempromosikan diri di hadapan penemuduga.
8. Beri salam kepada penemuduga dan sebut pangkat atau gelaran mereka – Cik, Puan, Encik atau Dr. Jika tidak pasti, tanyakan kepada penyambut tetamu.
9. Berjabat tangan dengan `kemas’ dan yakin. JANGAN bersalam dengan tangan yang basah.
10. Tunggu sehingga anda dipelawa untuk duduk dan betulkan postur serta `bahasa badan’ anda. Duduk tegak, JANGAN gugup dan tunjukkan wajah bersedia dan berminat sepanjang tempoh temu duga.
11. JANGAN cuba-cuba untuk berjenaka ketika ditemuduga.
12. Buat eye contact yang baik dengan penemuduga.
13. Tunjukkan anda sangat berminat bekerja di syarikat itu.
14. JANGAN merokok walaupun si penemuduga mengajak anda berbuat demikian. Elakkan juga merokok sebelum menghadiri temu duga supaya badan tidak berbau. Segarkan nafas anda.
15. JANGAN gunakan bahasa pasar, slang atau kata-kata seperti ‘uh’, `hmmm’ dan sebagainya.
16. JANGAN bercakap terlalu lemah-lembut. Suara yang bertenaga menggambarkan keyakinan.
17. Miliki keyakinan dan tenaga yang tinggi tetapi JANGAN keterlaluan.
18. JANGAN pula tunjukkan anda teramat memerlukan pekerjaan hingga sanggup menerima apa-apa jawatan pun.
19. Elakkan berbicara mengenai topik yang kontroversi.
20. JANGAN mengulas apa-apa yang negatif mengenai bekas majikan, penyelia atau teman sekerja.
21. Pastikan pendapat bernas anda disampaikan dengan baik dan disokong dengan fakta supaya mampu dimengerti oleh penemuduga.
22. JANGAN sesekali menipu. Jawab pertanyaan panel temu duga dengan jujur dan padat. JANGAN berikan jawapan yang meleret.
23. Tekankan mengenai pencapaian anda. JANGAN bercerita perkara negatif mengenai diri sendiri.
24. JANGAN berikan jawapan yang terlalu ringkas seperti ya atau tidak. Bila perlu, sokong jawapan anda dengan sedikit penerangan dan contoh. Ceritakan perkara yang dapat menyerlahkan bakat, kemahiran dan kesungguhan anda.
25. Buktikan bahawa anda ada membuat kajian mengenai syarikat dan industri yang ingin diceburi bila menjawab soalan.
26. JANGAN berbicara mengenai masalah peribadi atau keluarga.
27. JANGAN jawab soalan dengan berkata sesuatu seperti “Itu soalan yang bagus..”. Anda boleh mengambil masa untuk memikirkan jawapan dengan mengulang semula soalan atau meminta penemuduga mengulang soalan. Tidak mengapa jika anda mengambil masa sejenak sebelum menjawab soalan.
28. JANGAN jawab sebarang panggilan telefon bimbit ketika sesi temu duga. Pastikan anda sudah senyapkan atau matikannya.
29. Tunjukkan apa yang anda boleh lakukan untuk syarikat berbanding apa yang boleh anda peroleh daripada mereka.
30. JANGAN terburu-buru bertanyakan hal gaji, cuti, bonus atau faedah sehingga anda benar-benar menerima tawaran kerja itu tapi sentiasa bersedia jika ditanyakan soalan sebegitu.

No comments:

Post a Comment