Friday, February 17, 2012

bahasa inggeris

Permudah pembelajaran Bahasa Inggeris



BERDEPAN situasi tidak mempunyai keyakinan diri bercakap dalam bahasa Inggeris tentu sekali akan menyebabkan seseorang itu mengelak daripada berkomunikasi dengan orang ramai atau dalam majlis yang menggunakan bahasa universal tersebut.
Bayangkan kerumitan yang terjadi apabila seseorang itu terpaksa berdepan dengan masyarakat di luar negara tetapi berasa kaku dan takut untuk mengeluarkan kata-kata. Lebih teruk daripada itu, dia tidak memahami butir bicara orang yang berlawan cakap dengannya.
Senario tersebut bukan sahaja berlaku semasa menuntut di sekolah ataupun universiti sahaja, malah ketika dalam alam pekerjaan, ia sedikit sebanyak akan merugikan pihak yang gagal berinteraksi.
Justeru, penguasaan bahasa Inggeris amat penting dipupuk tatkala masih kecil demi melahirkan modal insan yang mampu diketengahkan sehingga peringkat antarabangsa.
Menyedari kepentingan tersebut, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah menjalin kerjasama dengan syarikat antarabangsa, MM Publications dalam memperkenalkan buku-buku tambahan bahasa Inggeris yang dilengkapi sistem Binary Pengajaran Bahasa Inggeris (BELT).
Pengurus Jualan Serantau MM Publications, Ryan W. Stacy, berkata, sistem BELT merupakan penyelesaian ideal dalam memberi nilai tambah kepada pengajaran bahasa Inggeris masa kini.
“Ia merupakan program yang mengajar bahasa Inggeris melalui medium multimedia dalam memupuk minat terhadap bahasa itu.
“Sistem BELT dibangunkan khusus untuk pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris ataupun menjadikannya sebagai bahasa kedua,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Beliau menjelaskan program berkenaan amat sesuai digunakan di sekolah-sekolah, institusi pendidikan dan pusat latihan bahasa.
Tambahnya, program yang dibangunkan pada tahun 1982 itu didatangkan bersama buku-buku bahasa Inggeris dari peringkat sekolah rendah sehingga pra-universiti yang dikeluarkan MM Publications.
“Binary Logic yang merupakan sebahagian daripada MM Publications bertanggungjawab membangunkan program berkenaan malah ia telah diguna pakai di 20 buah negara seluruh dunia.
“Menariknya tentang sistem BELT adalah ia bukan dibangunkan jurutera perisian tetapi oleh pendidik yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan,” ujarnya lagi.
Oleh itu, ia menjadikan sistem berkenaan lengkap dan terperinci kerana mereka lebih memahami keperluan pelajar-pelajar serta guru-guru di institusi pendidikan.
Teknologi
Dalam pada itu, Ryan memberitahu, terdapat dua versi dalam penggunaan program BELT yang mengikuti Common European Framework (CEF) iaitu dengan menggunakan kaedah luar talian ataupun dalam talian.
“Apabila menggunakan kaedah luar talian, pengguna akan menerima kad pintar bersama-sama pembelian buku untuk membenarkan mereka mengakses program BELT.
“Penggunaan dalam talian pula, pengguna akan mendapati terdapat kata laluan dan nama pengguna di dalam buku yang telah dibeli mereka,” katanya.
Ryan menjelaskan, pengenalan teknologi berkenaan adalah untuk memastikan kandungan BELT hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh pembeli buku-buku yang dilengkapi sistem tersebut.
Katanya lagi, buku-buku dan isi kandungan BELT juga terbahagi kepada dua versi iaitu untuk kegunaan pelajar-pelajar serta guru-guru.
“Perbezaan yang dapat dilihat melalui kedua-dua versi ini adalah versi guru mempunyai jawapan bagi membolehkan mereka membuat ulang kaji dengan lebih sempurna.
“Buku-buku yang dilengkapi sistem BELT mencakupi empat kemahiran utama iaitu mendengar, berkomunikasi, menulis dan membaca untuk memastikan pengguna mudah mempelajari bahasa Inggeris,” katanya.
Faedah

RYAN memberi penerangan mengenai cara penggunaan sistem BELT yang dapat membantu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris.


Terdapat banyak faedah yang boleh diperoleh oleh para pelajar dan guru-guru melalui penggunaan sistem BELT.
Menurut Ryan, sistem BELT mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja dan secara tidak langsung menjadikannya wadah pembelajaran yang menyeronokkan terutamanya kepada pelajar-pelajar.
“Antara faedah yang boleh diperoleh pelajar termasuklah dapat meningkatkan keyakinan diri mereka dan berdikari dengan mendengar serta menonton video yang ditawarkan dalam sistem BELT.
“Selain daripada itu, modul pembelajaran dapat dipelajari mengikut rentak dan kesesuaian para pelajar. Selain daripada itu, pembelajaran dapat dijalankan secara interaktif dan kemajuan dapat dicapai dengan pantas,” katanya lagi.
Ryan menambah, tenaga pengajar pula dapat mengenal pasti kelemahan pelajar-pelajar apabila boleh memantau perkembangan melalui sistem BELT.
Ujarnya lagi, guru-guru juga akan dibekalkan dengan jawapan dan transkrip pembelajaran untuk memastikan kelancaran proses pembelajaran pelajar.
Kerjasama
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi dan Kewangan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), Rozita Yusoff, berkata, kerjasama dengan penerbit luar negara terutama dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dapat menjalinkan sinergi yang baik.
“Ia dilakukan demi menyahut seruan kerajaan yang mahu menekankan penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar.
“Kita memilih MM Publications kerana cara penyampaian penerbitan mereka mudah difahami dan pengguna boleh berinteraksi dengan menggunakan medium multimedia,” katanya.
Di samping itu, beliau menambah, isi kandungan buku-buku yang diterbitkan mereka turut memberi garis panduan kepada guru-guru dalam mengatur pembelajaran bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar.
Katanya, ia sekali gus dapat memudahkan lagi tugasan guru-guru yang mempunyai masa terhad dalam mengatur jadual pembelajaran kepada pelajar.
Buat masa ini, produk yang cukup inovatif tersebut hanya dijual pada pasaran sekolah. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk tersebut boleh menghubungi UP&D di talian 03-9285 6577.

No comments:

Post a Comment