Friday, February 3, 2012

blackberry tiruan

Suri rumah beli Blackberry tiruan

WALAUPUN pada masa kini, terdapat pelbagai sumber untuk mengetahui maklumat mengenai sesuatu barangan, namun segelintir individu di negara ini masih mengabaikan tentang perkara tersebut.

Keghairahan membeli sesuatu barangan sehingga tidak memeriksa ketulenan barang tersebut akan menyebabkan para pengguna sering tertipu dengan kata-kata manis penjual.

Sebagai pengguna, kita sepatutnya peka untuk memeriksa maklumat sesuatu barangan terlebih dahulu sebelum bersetuju dalam sebarang urusan jual beli.

Itulah kisah yang berlaku ke atas seorang suri rumah bernama Teo Choong Kiang, 40, yang membeli seunit telefon pintar jenis Blackberry di sebuah kedai telekomunikasi, baru-baru ini.

Tindakan wanita itu membeli Blackberry berharga RM941 tanpa mengetahui bahawa ia merupakan telefon bimbit tiruan menyebabkan pengguna terbabit mengalami kerugian apabila alat telekomunikasi itu rosak selepas sehari Choong Kiang menggunakannya.

Dia kemudiannya menghantar telefon bimbit tersebut ke kedai terbabit untuk dibaiki tetapi pekerja di kedai berkenaan memberitahu Choong Kiang bahawa telefon pintar terbabit akan diganti dengan telefon bimbit yang baru.

Tidak lama kemudian, telefon pintar gantian itu turut rosak semula dan wanita itu sekali lagi menghantarnya untuk dibaiki. Tatkala itu, Choong Kiang baru mengetahui bahawa Blackberry terbabit merupakan barangan tiruan selepas diberitahu oleh pekerja kedai berkenaan.

Selepas mengetahui perkara berkenaan, Choong Kiang dengan segera mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara bagi menuntut ganti rugi dari kedai telekomunikasi itu.

Presiden tribunal, Maznah Haron yang mendengar kes itu baru-baru ini, mengarahkan kedai telekomunikasi tersebut yang dinamakan sebagai penentang memulangkan semula wang RM941 kepada Choong Kiang dalam tempoh 14 hari.

Maznah mengeluarkan award berkenaan selepas penentang gagal hadir untuk mengemukakan pembelaan ketika kes itu didengar di hadapannya.

Sekiranya kedai itu gagal berbuat demikian, suri rumah tersebut boleh melaporkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Maznah turut sempat menasihatkan Choong Kiang agar memeriksa maklumat sesuatu barangan dengan bertanyakan kepada rakan-rakan atau melayari laman web terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barang.

No comments:

Post a Comment