Terperangkap cinta gadis bohsia
SAYA bercinta dengan seorang gadis sejak lima bulan lalu selepas mengenalinya melalui kawan saya. Bagaimanapun, dia gemar bersosial dan ramai kawan lelaki. Saya mengenalinya pun kerana dulunya saya remaja liar.
Untuk makluman, gadis itu terlanjur terlebih dulu dengan kawan saya sebelum saya turut melakukan perbuatan sama. Dulunya saya berhati keras dan tidak mudah terpikat dengan gadis liar.
Namun tiba-tiba hati saya terpikat dengan gadis yang saya kenal melalui kawan saya ini. Hubungan kami semakin rapat dan setiap kali berjumpa, kami terlanjur.
Pada masa sama, saya juga berkenalan dengan ahli keluarganya. Semakin lama semakin rapat hubungan kami. Satu hari kawan saya menasihati saya supaya meninggalkan gadis itu kerana takut dia akan hamil.
Kawan saya bercerita, gadis terlanjur dengan ramai lelaki dan terkenal di kawasan taman itu. Saya tidak mengendahkan nasihat kawan saya kerana kasih sayang dan cinta saya padanya terlalu mendalam walaupun dia tidak lagi suci.
Saya bercinta dengannya hampir sebulan dan saya sedar perutnya seperti berisi dan dia juga ceritakan yang dia sudah lama tidak datang haid.
Saya tidak takut setiap kali kami terlanjur kerana baru berkenalan, tapi kecut perut jika keluarganya menuduh saya bertanggungjawab.
Beberapa bulan berlalu, ibu kepada gadis itu syak anaknya hamil. Gadis itu tidak puas hati lalu dia menyuruh saya membeli alat memeriksa kehamilan. Saya membelinya dan keputusannya positif.
Dia hendak menggugurkan kandungannya tapi saya tidak benarkan kerana takut nyawanya terancam, lagipun janin dalam kandungan itu tidak bersalah.
Saya berjanji padanya, apa pun terjadi saya tidak akan meninggalkan dia dan akan menjaganya. Selepas kejadian itu, kami berdua bertaubat dan tidak melakukan maksiat. Ibu kepada perempuan itu tidak menuduh saya kerana saya lelaki paling baik berbanding lelaki lain yang pernah bercinta dengan anaknya dan mengenali keluarganya.
Satu hari dia berkata pada saya yang ibunya menyuruh dia berterus terang pada saya dan jika saya tidak menyukainya lepaskan saja dirinya. Namun, saya beritahu gadis itu saya tidak akan lepaskannya kerana dialah perempuan yang saya betul-betul cinta dan saya akan lalui apa pun dugaan yang akan menimpa kami.
Dia gembira kerana saya menerimanya seperti sedia kala. Semakin hari semakin besar perut dia lalu ibunya membawanya ke rumah kebajikan supaya tidak mahu diketahui jiran dan saudara mara.
Dia dibawa ke situ sehingga melahirkan. Sebelum dia pergi, saya sungguh sedih kerana kami berdua pertama kali berpisah buat sementara waktu selama empat bulan.
Satu hari, saya terjumpa kawan yang pernah membuat hubungan dengan kekasih saya dan dia memperli saya kerana kekasih saya pernah membuat hubungan dengannya.
Bukan lelaki itu saja memperli saya, ramai kawan saya tahu saya bercinta dengan gadis bohsia. Saya malu, apa yang patut saya buat sekarang.
PENING
Alor Setar
Di sebalik keterlanjuran yang dilakukan, saudara sebenarnya memiliki hati murni. Ini kerana saudara berani bertanggungjawab ke atas teman wanita, walhal saudara pasti anak dilahirkan itu bukan daripada benih saudara.
Sikap itu harus dipuji berbanding rakan saudara yang berbangga dengan dosa besar, sedangkan perbuatan berzina dan merosakkan anak dara orang itu dilaknat Tuhan.
Biarlah mereka dengan dunia ‘hitam’ mereka. Mereka pasti menerima balasan Tuhan, jika tidak di dunia, balasan di akhirat menanti mereka.
Teguhkan hati, kuatkan iman. Untuk berhijrah ke arah kebaikan, pasti ada onak dan duri. Yang penting, saudara berada di jalan benar dan menyelamatkan seorang gadis daripada terus bergelumang dosa dan noda.
Untuk iktibar, saudara boleh melihat contoh Khalifah Umar Al-Khattab. Pada peringkat awal, beliau antara penentang kuat Nabi Muhammad SAW, tapi selepas mendapat hidayah, beliau adalah orang kanan Rasulullah dalam memperjuang dan memartabatkan Islam.
Sebagai insan biasa, kita sukar memperoleh tahap keimanan seperti Saidina Umar AS, tapi kita boleh menjadikan beliau sebagai contoh sesuai.
Tutup buku lama, buka buku baru. Anggaplah dosa besar yang dilakukan saudara sebagai sejarah untuk iktibar diri sendiri supaya tidak mengulangi perbuatan sama pada masa depan.
Binalah kehidupan baru yang diberkati Tuhan. Ingat, kehidupan ini hanya sementara, justeru kita sebagai manusia harus memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan Yang Maha Esa.
Peluang ini hanya hadir sekali dalam hidup. Bagi Dang Setia, saudara dan teman wanita harus bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah untuk bertaubat dan tidak lagi melakukan maksiat seperti berzina.
Jika kalian benar-benar bertaubat nasuha, insya-Allah Tuhan akan memberkati kehidupan pada masa depan. Yang penting, saudara sentiasa memperbaiki diri daripada aspek kehidupan duniawi dan akhirat.
Sekarang adalah masa untuk saudara memandang ke depan dan tidak lagi menoleh ke belakang. Pedulikan kawan yang masih dalam kesesatan, kerana mereka sebenarnya dalam kerugian.
Kongsi artikel ini menerusi m
No comments:
Post a Comment