Darakah saya?
SAYA pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu kota. Saya mempunyai masalah yang amat membelenggu saya selama ini dan ingin meminta bantuan Dang Setia di dalam hal ini, iaitu mengenai status dara saya.
Untuk makluman, saya hampir-hampir dirogol jiran sendiri sewaktu saya berumur lapan tahun. Tapi saya tidak ingat dengan jelas peristiwa yang berlaku itu kerana saya masih kecil dan tidak tahu apa-apa lagi.
Selain itu, saya juga pernah dinodai abang kandung tapi hanya membabitkan seks oral saja tanpa melakukan hubungan kelamin. Sekarang saya berumur 20-an. Adakah saya masih mempunyai dara atau saya sudah kehilangannya? Apa itu dara yang sebenar?
Seperkara lagi, saya ada kekasih bernama A. Saya amat mencintai A dan mahu menja- dikannya suami saya. A mengetahui hal ini dan sanggup menerima saya seadanya, lagipun A amat menyayangi saya dan ingin memperisterikan saya.
A pernah kecewa dalam percintaan sebelum ini dan dia serik untuk bercinta lagi. Keluarga kami mengetahui hubungan kami cuma tidak menggalakkannya kerana kami masih belajar. A belajar di semester akhir dan akan tamat April depan. Kami akan berkahwin dalam tempoh empat tahun lagi.
Saya amat takut kehilangan A dan pada masa sama, saya takut dia akan mempersoalkan kisah lampau saya selepas berkahwin nanti. Bantulah saya.
GADIS KIUP
Bagi menjawab soalan saudari, Dang Setia terpaksa merujuk kepada pakar sakit puan dan pelbagai artikel mengenainya supaya isu ini dapat diperjelaskan dengan sebaik-baiknya. Lagipun, majoriti masyarakat kita masih keliru mengenai selaput dara terutama kaum lelaki.
Secara ringkasnya, dalam istilah perubatan, selaput dara dikenali sebagai hymen. Selaput dara ini adalah satu lipatan selaput lendir yang menutupi pintu bibir vagina perempuan. Ia telah ada sejak bayi perempuan dilahirkan.
Kedudukannya adalah di antara satu atau dua sentimeter (cm) dari bibir luar vagina dan bentuknya bulat mengikut bentuk liang vagina.
Bagaimanapun, bukan semua wanita ada selaput dara pada vaginanya. Terdapat beberapa kajian yang mendapati ada bayi perempuan lahir tanpa selaput dara.
Ramai lelaki menganggap seorang wanita tidak suci sekiranya tidak mengeluarkan darah ketika malam pertama. Anggapan ini sebenarnya kurang tepat. Perawan atau tidak seseorang gadis itu bukan hanya bergantung pada selaput dara.
Tidak semestinya wanita yang tidak mengeluarkan darah ketika malam pertama sudah tercemar kerana selaput dara ini bukan hanya boleh pecah ketika melakukan persetubuhan tetapi juga disebabkan beberapa sebab lain seperti aktiviti lasak.
Kembali kepada masalah saudari, usah takut mengenai kisah lampau kerana saudari sudah menceritakan segala-galanya kepada teman lelaki. Malah, saudari seharusnya berlapang dada kerana tidak menyembunyikan sesuatu kepada bakal suami. Jika dia betul-betul menyayangi saudari dan menganggap saudari cinta sejatinya, insya-Allah dia tidak akan meninggalkan saudari kerana perempuan lain.
Seperkara lain, Dang Setia juga setuju dengan pendapat keluarga kedua-dua pihak yang mahu menyatukan kalian dalam tempoh empat tahun lagi. Tempoh itu rasanya bersesuaian bagi memastikan saudari dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kuliah manakala teman lelaki saudari dapat membina kariernya terlebih dulu selepas menamatkan pengajian April depan.
No comments:
Post a Comment