Sunday, March 6, 2011

Trymasak

Panduan masak

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL
BAGI anda yang gemar memasak, aktiviti mencari resipi melalui buku-buku atau menonton rancangan masakan di televisyen pasti akan menjadi rutin.

Membawa dimensi baru kepada teknik pencarian resipi secara lebih moden dan mudah, syarikat teknologi tempatan, Geoflex Sdn. Bhd. (Geoflex) telah menampilkan portal panduan memasak interaktif dikenali sebagai TryMasak.

Ia mengetengahkan konsep paparan video ringkas dan padat sebagai medium penyampaian resipi menerusi akses laman web www.trymasak.my.

Keunikan tersebut telah menjadikan TryMasak sebagai portal video masakan dalam talian pertama di negara ini.

Menurut Pengurus Projek Eksekutif Geoflex, Nur Hafizah Mohd. Razali, portal berkenaan mula dibangunkan sejak tahun 2008 dan beroperasi pada pertengahan 2010.

Pembangunannya mendapat sokongan dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

"Portal ini mempunyai lebih 1,000 video resipi daripada pelbagai kategori masakan yang tersedia bersama input teks dan juga rakaman suara.

"Selain itu, laman ini turut menyediakan maklumat seperti tips dan panduan masakan serta makanan, cadangan resipi, perbincangan komuniti dan ruangan glosari.

"Glosari memberi penerangan serta informasi mengenai bahan-bahan resipi yang digunakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk memudahkan kefahaman.

"Bagi mendapatkan cadangan resipi pula, pengunjung laman ini hanya perlu menaip beberapa bahan mentah yang ingin digunakan sebelum sistem memberitahu resipi yang bersesuaian,'' katanya ketika ditemui di pejabat Geoflex di Cyberjaya baru-baru ini.

Apa yang menarik, untuk setiap resipi ia disertakan dengan maklumat sokongan seperti masa penyediaan, peringkat kesusahan, berapa ramai yang telah mencuba, komen pengunjung dan resipi bertulis yang boleh dicetak.

Pengunjung yang telah mencuba setiap resipi juga kemudiannya boleh memuat naik hasil masakan mereka dalam bentuk video atau imej.

Bercerita mengenai proses penghasilan video, Geoflex mempunyai pasukan produksinya sendiri yang akan merakam dan mengedit setiap visual.

Secara keseluruhannya, pembangunan TryMasak melibatkan seramai lapan orang tenaga kerja merangkumi operasi rekaan web dan grafik, pengaturcaraan, editorial dan pemasaran.

"Untuk tujuan pemasaran, kita menggunakan medium dalam talian seperti e-mel dan laman web rangkaian sosial untuk menarik pengunjung.

"Setakat ini, TryMasak telah mempunyai 3,300 ahli berdaftar termasuk dari luar negara seperti Jerman, Australia dan United Kingdom serta lebih 10,000 peminat di laman Facebook.

"Kita menerima respons yang sangat baik daripada para pengunjung kerana menurut mereka pendekatan menyampaikan resipi menerusi paparan video adalah lebih mudah dan menarik perhatian,'' jelasnya.

Nur Hafizah memberitahu, setiap resipi yang yang dipaparkan diperolehi hasil kerjasama dengan beberapa chef, syarikat pengiklanan dan syarikat pengeluar produk makanan.

Ketika ini, Geoflex sedang dalam proses menyediakan rangkaian resipi-resipi sihat melalui kerjasamai dengan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Selain laman web, Geoflex turut tampil dengan beberapa aplikasi tambahan yang menggunakan penjenamaan TryMasak.

Antaranya adalah seperti capaian TryMasak menerusi telefon bimbit, permainan video dalam talian, muat turun video dan penghantaran kad resipi menggunakan khidmat pesanan multimedia (MMS).

"Pada masa hadapan, kita bercadang membangunkan aplikasi TryMasak untuk peranti iPhone dan iPad pula,'' katanya.

Portal TryMasak telah menerima pencalonan dalam kategori Aplikasi Media Baru Bumiputera Terbaik bagi acara Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 yang bakal berlangsung akhir bulan ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani.

Selain Geoflex, dua lagi syarikat yang tercalon untuk kategori itu adalah Lotdotmy Sdn. Bhd. untuk produk eCommerce Domain dan SyQic Capital Sdn. Bhd. bagi perkhidmatan YOONIC Peer To Peer.

Ditanya mengenai pencalonan itu, Nur Hafizah berharap agar ia dapat menjadi batu loncatan kepada portal TryMasak untuk lebih dikenali ramai.

"Melalui pendedahan seperti ini, ia akan memberi lebih keyakinan kepada kami untuk mendekati masyarakat, penaja atau pun pengiklan pada masa hadapan.

"Acara seperti ini turut membuka peluang untuk para usahawan bertukar-tukar pendapat seterusnya memberi inspirasi dan motivasi untuk berjaya,'' jelasnya.

Geoflex yang menyertai NEF sejak tahun 2010 telah banyak terlibat dalam aktiviti bengkel serta latihan yang disediakan oleh persatuan itu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment