U-library untuk semua
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
BAGAIMANA untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian rakyat negara ini? Jika semua sudah disediakan, adakah kejayaan kempen membaca terletak di tangan pihak berwajib atau rakyat Malaysia sendiri?
Dalam temuramah khas bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar, beliau menegaskan perpustakaan cuma untuk memupuk budaya membaca, bukannya untuk mengarahkan rakyat membaca.
“Budaya membaca ini perlu terus dipupuk terutamanya selepas seseorang itu tamat belajar tetapi ia banyak bergantung kepada individu itu sendiri.
“Kita boleh sediakan kemudahan yang cukup tetapi tiada maknanya tanpa inisiatif diri termasuk di kalangan orang dewasa yang menyuruh anak membaca tetapi mereka sendiri tidak melakukannya,” katanya.
Raslin menjelaskan kini terdapat 2,436 perpustakaan di seluruh negara termasuk perpustakaan awam di negeri-negeri, perpustakaan akademik di universiti dan perpustakaan di kementerian serta jabatan kerajaan.
Dari segi keahlian, kesemua perpustakaan tersebut memberi khidmat kepada kira-kira sembilan juta ahli termasuk 42 juta orang pengunjung setiap tahun yang kebanyakannya datang pada hujung minggu. PNM kini mempunyai 865,000 ahli dan dijangka terus meningkat sehingga satu juta orang menjelang hujung tahun ini.
“Bagi generasi muda, mereka memilih untuk muat turun di komputer peribadi dan tidak perlu datang jauh ke perpustakaan. Generasi saya pula lebih suka bentuk fizikal (buku).
“Jadi, kita dalam usaha memenuhi permintaan semua dengan menyediakan bahan dalam bentuk fizikal dan digital serta melatih orang ramai menggunakan komputer untuk cari dan dapatkan bahan yang dikehendaki,” katanya.
Program latihan tersebut merupakan antara intipati program celik maklumat PNM yang melatih semua peringkat terutamanya pelajar sekolah tentang cara mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih melalui internet.
“Berjuta-juta maklumat boleh diperoleh di dalam internet tetapi kita tidak tahu ia boleh dipercayai atau tidak. Perpustakaan mempunyai kemahiran mengesahkannya dan kita ajar orang ramai bagaimana untuk mencari bahan tersebut.
“Kita juga mempunyai 77 program galakkan membaca tahun ini terutamanya untuk mereka yang sukar mendapatkan kemudahan bahan bacaan dengan berkongsi serta membawa bahan bacaan tersebut kepada mereka,” jelasnya.
Menurutnya, sasaran kerajaan bukan sekadar membudayakan tabiat membaca tetapi mahu melihat rakyat membaca di mana sahaja jika mempunyai masa.
“Kita mahu mencontohi penduduk di negara luar yang membaca di mana sahaja, sekurang-kurangnya membaca akhbar. Ada petunjuk baik peningkatan dalam penulisan dan jualan buku tetapi masih susah untuk kita lihat warga Malaysia duduk bersahaja sambil membaca,” ujarnya.
Kemuncak perancangan kempen membaca tahun ini adalah pelaksanaan Projek Rintis Perpustakaan Ubiquitous (U-library) yang akan dilancarkan pada Mac ini. Konsep perpustakaan maya ini mengatasi semua bentuk sempadan jarak dan inventori dengan menggabungkan semua bahan bacaan seluruh negara di bawah satu sistem pengurusan tunggal.
Menurut Raslin, semua perkhidmatan akan disediakan melalui U-library termasuk pendaftaran percuma menggunakan MyKad, mencari bahan secara maya dan pinjaman buku secara percuma.
“Ahli cuma perlu muat turun bahan digital ataupun meminjam bahan fizikal secara percuma. Tetapi, mereka perlu menanggung sedikit kos untuk perkhidmatan pos sama ada menghantar atau mengambil buku yang dipinjam.
“Kos ini tidak tinggi jika dibandingkan kos pengangkutan dan masa untuk ke perpustakaan, di samping mencari bahan mengikut kaedah lama.
“Kita akan menjalankan program perintis U-library sehingga penghujung 2012 dengan kerjasama tujuh perpustakaan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan penuh dengan semua perpustakaan di seluruh negara menjelang 2013,” ujarnya.
Jelasnya lagi, bukan sesuatu yang mudah untuk mengubah sepenuhnya sistem perpustakaan negara dan perkhidmatan penuh perlu mengambil kira permasalahan yang mungkin timbul.
U-library bukan sekadar pusat sehenti untuk mencari dan meminjam bahan tetapi mempunyai forumnya sendiri, seminar web interaktif serta ruangan pendapat pembaca mengenai sesebuah buku atau bahan bacaan lain.
“U-library juga dapat membantu sasaran satu perpustakaan di setiap rumah melalui rak digital yang boleh disusun sendiri setiap ahli di dalam komputer peribadi mereka.
“Kita mahu membawa perpustakaan terus ke rumah pembaca, memudahkan buku dihantar terus ke rumah serta memudahkan proses pemulangan dengan bayaran minima untuk perkhidmatan tersebut,” tegasnya.
Layari laman web www.u-library.gov. my untuk mendaftar sebagai ahli dan jadikan membaca amalan pembuka serta penutup hari anda.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment