Bank Negara Malaysia perlu kaji semula kawalan kad kredit
LANGKAH Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menangani dan mengawal perbelanjaan boros rakyat Malaysia, selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis dengan mengumumkan syarat-syarat baru serta-merta amatlah dipuji.
Bagaimanapun tindakan BNM mengarahkan pengguna yang memiliki kad kredit lebih daripada dua kad menentukan hanya dua kad menjadi pilihan sehingga akhir tahun ini serta memberi tempoh masa sehingga dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang dibatalkan adalah sesuatu yang keterlaluan.
Majoriti peniaga muda mencuba nasib menggunakan kad kredit sebagai modal perniagaan kerana lebih mudah berbanding kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan peribadi mahupun pembiayaan perniagaan dari institusi kewangan. Justeru tidak hairanlah sekiranya golongan peniaga terutama peniaga yang masih muda memilih kaedah memiliki kad kredit yang banyak sebagai pusingan modal perniagaan.
Tindakan mengehadkan bilangan kad kredit dan menetapkan tempoh pembayaran balik kad selama dua tahun untuk kad kredit yang dibatal hanya akan mengundang beban kewangan yang lebih terhadap golongan ini. Sebaiknya BNM harus memberi peluang kepada mereka yang memiliki lebih kad kredit tetapi mampu mengawal dengan bijak situasi pembayaran kad kredit mereka.
Jika diteruskan juga cadangan BNM tersebut, bayangkan di mana golongan ini nak 'korek' duit untuk membayar baki hutang kad kredit yang telah dibatal. Harus diingatkan juga bahawa Pilihan raya Umum (PRU) bakal menjelma tidak lama lagi. Niat baik BNM seperti biasa akan dijadikan modal oleh pembangkang untuk menjadikan kerajaan BN sebagai kambing hitam! Tak perlu dijolok sarang tebuan yang terletak jauh di dalam hutan serta tidak memudaratkan! BNM jangan terlalu proaktif sehingga rakyat terutama golongan muda 'korek' pula undi mereka dari Barisan Nasional dalam PRU akan datang sebagai tindak balas!
NORHISYAM MOHAMAD
Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Kuala Kedah
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Tubuhkan Majlis Media
No comments:
Post a Comment