Terlebih bayar insurans
Wartawan Sinar Harian
17 April 2012
KAMUNTING – Bayaran insurans seorang tukang besi, di sini, sepatutnya terhenti enam tahun lalu, malangnya sehingga kini dia masih lagi membayar caruman itu.
Kwong Fatt Chooi, 72, berkata, dia membeli insurans itu pada 15 Januari 1998 melalui pemasaran atas talian (tele-marketing) atas nama Insurans Hayat.
Menurutnya, menerusi kontrak yang ditetapkan, bayaran insurans akan tamat apabila pemegang polisi berumur 66 tahun.
“Bagaimanapun pada 15 Mac lalu, saya menerima penyata syarikat kad kredit dengan potongan bayaran insurans sebanyak RM50 dan RM30.70 menjadikan jumlahnya RM80.70.
“Sebenarnya, pada 15 Mac lalu, saya telah berusia 72 tahun. Ini bererti saya telah terlebih membayar insurans sebanyak 73 kali yang sepatutnya terhenti pada 28 Februari 2006,” katanya.
Fatt Chooi berkata, namun, pada 2 Mac lalu, dia menerima surat daripada pihak insurans menyatakan kedua-dua caruman RM30.70 dengan nilai pulangan sebanyak RM399.10 dan caruman RM50 (pulangan RM675) ibatalkan.
“Malangnya tiada cek bayaran disertakan. Malah dalam penyata kad kredit yang diterima 15 Mac lalu, pihak insurans masih lagimembuat potongan bayaran untuk kedua-dua caruman berkenaan.
“Sepatutnya, jika dihitung semula, saya terlebih bayar sebanyak 73 kali menjadikan, jumlahnya adalah RM5,891 iaitu RM80.70X73,” katanya.
Katanya, isterinya juga menerima nasib yang sama apabila pihak insurans masih membuat potongan caruman walaupun pemegang polisi sudah berusia 66 tahun.
Sementara itu, Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, dia menasihati pengguna agar tidak membeli insurans secara pemasaran atas talian sebaliknya melalui kaunter atau syarikat insurans yang telah disahkan.
“Pemegang polisi boleh mendapatkan salinan polisi untuk dibaca bersama sebut harga termasuk syarat-syarat terlebih dahulu.
“Pembelian melalui pemasaran atas talian boleh merugikan pengguna seperti yang pernah berlaku kepada seorang pegawai bank yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
"Tetapi insuransnya tidak dibayar sehingga isterinya memohon surat daripada Amanah Raya terlebih dahulu,” katanya.
Katanya, apabila membeli insurans, pengguna hanya perlu mengisi nama waris dan apabila mereka meninggal dunia, waris hanya mengisi borang tuntutan seterusnya akan terus dibayar tanpa merujuk kepada Amanah Raya yang mengambil masa lama.
No comments:
Post a Comment