Langkah memperkasa penoreh getah wanita
APABILA disebut penoreh getah, golongan itu sering dikaitkan dengan kemiskinan dan dianggap tidak mempunyai ilmu pengetahuan luas selain daripada aktiviti penanaman getah.
Hakikat itu nampaknya bakal berubah apabila terdapat sekumpulan pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang sedang bertungkus lumus mencari idea baru bagi mengubah persepsi negatif tersebut.
Menjelas perkara itu, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (gambar) berkata, pihaknya telah mewujudkan makmal khas bagi menghasilkan idea-idea baru tersebut.
"Cadangan awal yang kita terima adalah supaya diberikan tumpuan bagi memperkasakan kaum wanita yang mewakili separuh daripada 1.2 juta pekebun kecil getah dan keluarga masing-masing.
"Dalam usaha kita untuk membangunkan masyarakat pekebun kecil melalui pemodenan sikap dan cara mereka bertindak, kaum wanita tidak boleh diketepikan lagi.
"Ini kerana kaum wanita khususnya kaum ibu memainkan peranan sangat penting dalam menentukan kesejahteraan dan kemajuan keluarga.
"Justeru, untuk memperbaiki lagi keadaan yang terdapat sekarang ini, kaum wanita perlu diberi latihan dan bimbingan dalam hal-hal berkaitan dengan pengurusan rumah tangga, keluarga dan keusahawanan," jelasnya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sejajar dengan matlamat itu, katanya, pihaknya akan menjenama semula institusi Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) termasuk menukar namanya menjadi Pergerakan Wanita Pekebun Kecil RISDA.
Mengulas perubahan drastik yang akan dibuat terhadap PWPK, beliau menjelaskan aktiviti perkumpulan itu yang mempunyai antara 15 hingga 20 anggota akan dipastikan lebih tersusun dan bersifat tetap.
"Sebelum ini, ia lebih tertumpu kepada kegiatan ekonomi secara sambilan seperti membuat kuih, menjahit dan sebagainya yang tidak secara konsisten. Dalam erti kata lain sekejap buat dan sekejap tidak buat.
"Perubahan yang akan dibuat adalah untuk memastikan segala kegiatan ekonomi itu harus dibuat secara tetap dan berterusan.
"Ertinya jika sebelah pagi menoreh getah, waktu selebihnya harus ditumpukan pada bidang perniagaan termasuk mencari pasaran untuk menjual produk yang dihasilkan.
"Kegiatan ekonomi ini bertujuan untuk mengkomersialkan sumber tempatan dan kemahiran tradisi yang sedia ada," katanya.
Jelas beliau, perniagaan yang akan dilakukan oleh PWPK melibatkan pelbagai jenis seperti mengeluarkan makanan ringan, jahitan, pembuatan cili sos, kraftangan daun getah dan lain-lain aktiviti yang bersesuaian.
Misalnya, kraftangan daun getah, katanya, sikap PWPK yang kurang agresif menyebabkan wujud kekurangan bekalan daun getah yang sudah diproses untuk dijadikan bunga hiasan.
"Permintaan terhadap bunga daripada daun getah ini amat tinggi termasuk dari Maghribi dan usahawan wanita yang menceburi industri ini akan memperoleh pendapatan yang bagus.
"Sekilogram daun getah yang telah diproses boleh dijual dengan harga RM300. Pekebun yang bekerja secara sambilan boleh mengeluar sehingga empat kilogram sebulan.
"Dengan empat kilogram, mereka boleh memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan. Bayangkan berapa banyak yang mereka boleh dapat sekiranya terlibat dalam aktiviti ini secara sepenuh masa," ujarnya.
Menurut beliau, RISDA menyediakan pinjaman sehingga RM10,000 bagi pekebun yang ingin menceburi aktiviti memproses daun getah sebagai sumber pendapatan baru.
"Aktiviti memproses daun getah ini tidak payah, kerana pekebun hanya perlu merendamnya di dalam parit yang mempunyai air mengalir secara berterusan.
"Kaedah ini mempunyai kelemahan kerana ia mengeluar bau busuk dan kita kini sedang meninjau sejenis mesin yang telah dicipta di Pahang yang boleh memproses daun getah dalam kuantiti banyak dan mesra alam," ujarnya.
Sementara itu, katanya, semua usahawan wanita terbabit akan dilatih dengan kemahiran baru termasuk teknik meningkatkan kualiti produk, pembungkusan, pengurusan kewangan dan pemasaran bagi memastikan produk yang dihasilkan mereka benar-benar bermutu.
Tambah beliau, RISDA juga akan memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan usahawan wanita memperkembangkan perniagaan termasuk ubah suai bangunan di tapak projek, pembelian mesin dan peralatan yang berkaitan serta alat-alat pembungkusan.
Mengulas perubahan lain yang akan dilakukan terhadap PWPK, ujar beliau, pihaknya akan memastikan perkumpulan itu menjadi platform untuk kaum wanita bertukar-tukar fikiran, pendapat, idea dan kemahiran sesama mereka.
Jelas beliau, aktiviti PWPK juga akan diperluaskan melibatkan kegiatan sosial seperti mengadakan kelas bimbingan mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan serta penjagaan dan pendidikan anak-anak.
"Ia juga akan melibatkan aktiviti kebajikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penyediaan makanan, seni budaya dan latihan rohani serta keagamaan termasuk mewujudkan kumpulan berzanji," ujarnya.
Nampaknya, para penoreh getah wanita akan menghadapi satu gelombang perubahan drastik yang akan membolehkan mereka membantu meningkatkan pendapatan keluarga.
Ia boleh disamakan dengan perubahan dibuat ahli botani British, H.N. Ridley untuk menanam getah pertama di negara ini pada 1877 sehingga membolehkan Malaysia menjadi antara pengeluar utama bahan itu di dunia.
No comments:
Post a Comment