Impian kulinari Myanmar
PENINGKATAN jumlah pelancong asing ke Myanmar mencetuskan idea kepada beberapa tukang masak Perancis untuk membuka sebuah sekolah masakan.
Sekolah yang diberi nama Shwe Sa Bwe atau dikenali sebagai Golden Table memberi peluang kepada rakyat negara itu yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran mereka disebabkan faktor kemiskinan.
Suasana di dalam dapur yang sentiasa sibuk itu dipenuhi dengan 14 pelajar yang begitu tekun mempelajari juadah Perancis. Mereka dilatih menyediakan sup gazpaco dalam tempoh yang singkat, menghasilkan crepes (penkek) dan memanggang ayam.
Sekolah masakan itu terletak di utara Tasik Inya, Yangon yang merupakan sebuah kawasan perniagaan bebas daripada kesesakan. Ia terkenal sebagai penempatan golongan kelas atasan.
Ditubuhkan pada November lalu, sekolah tersebut menawarkan kursus-kursus percuma sebagai persediaan bagi melahirkan tukang masak serba boleh, di samping menjadikan pelajar mereka seorang pelayan restoran yang baik.
Francois Stoupan, individu di sebalik projek tersebut berkata, tujuan mereka mewujudkan sekolah itu adalah bagi menjadikan para graduan di situ sebahagian daripada perkembangan ekonomi Myanmar.
“Selama sembilan bulan mereka diajar menyediakan hidangan Perancis dan beberapa juadah Eropah yang lain,” tambah Stoupan yang berasal dari Perancis.
Seorang pelajar sekolah itu, Win Mu memberitahu, selama ini beliau hanya tahu membuat makanan negaranya sahaja. Kini, beliau mampu menyediakan beberapa juadah Eropah dan pengalaman yang ditempuhi amat luar biasa.
“Menghasilkan makanan Eropah agak sukar terutama proses membuat sos kerana ia mengambil masa,” ujar Win Mu.
Selepas berkhidmat di sebuah hotel di Yangon, Win Mu berharap untuk membuka restoran campuran berhampiran kediaman keluarganya di utara timur Shan, dengan menyajikan gabungan juadah Eropah dan Myanmar.
Idea restoran itu dilihat selaras dengan perkembangan interaksi Myanmar bersama dunia luar, walaupun menu campuran kadangkala mengelirukan rakyat negara itu.
“Rakyat Myanmar makan daging lembu yang dimasak sempurna, tetapi orang Perancis suka yang lebih mentah. Pada saya, itu sangat aneh,” kata Win Mu lagi.
Peningkatan pelancongan
Selepas pemerintahan ketenteraan dimansuhkan, perubahan dramatik dapat dilihat dalam sektor pelancongan sejak beberapa tahun lalu.
Ramai pelancong asing, diplomat dan ahli perniagaan mula memenuhi hotel-hotel di pusat bandar negara itu. Perkembangan itu sekali gus membuka peluang buat para pelajar di sekolah masakan Shwe Sa Bwe untuk bekerja di hotel-hotel mewah di sana.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Perhotelan Myanmar menerusi majalah Myanmar Times, jumlah pelancong asing meningkat lebih daripada 20 peratus pada suku kedua 2011.
Peningkatan tersebut dijangka akan berterusan terutama selepas proses mendapatkan visa kemasukan menjadi lebih mudah. Penyenaraian Myanmar sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik di dunia untuk tahun 2012 oleh New York Times dan Conde Nast Traveller juga mendorong minat pelancong asing.
Disebabkan tarikan pelancong kian berkembang, industri kulinari negara itu juga menemui jalan baharu. Eksperimen penggunaan bahan-bahan mentah negara itu juga semakin mendapat tempat dalam kalangan tukang-tukang masak asing yang berkhidmat di Myanmar.
“Terdapat banyak bahan mentah yang amat segar di sini. Jika anda pergi ke pasar seawal pukul 6 pagi, ikan yang dijual masih hidup,” cerita ketua tukang masak di Shwe Sa Bwe, Jeoffrey Offer yang merupakan warga Perancis.
Menjadi Bangkok
Sebuah restoran di bandar Yangon, Sharky menyasarkan perniagaan mereka kepada kumpulan ekspatriat, tetapi pola pelanggan tersebut telah berubah secara berperingkat.
“Perubahan ini menunjukkan bahawa perkembangan ekonomi telah mewujudkan fenomena baharu dan ia harus dipandang positif.
“Kami berhasrat menjadikan Yangon seperti Bangkok malah, kami ingin membentuk bandar yang lebih hebat. Ia merupakan impian pengusaha restoran di sini dan siapa tahu ia mampu dicapai kelak?” ujar pengarah operasi Sharky, Thaw Tar.
Hidangan tradisional Myanmar yang selama ini tenggelam dibayangi juadah dari negara berhampiran seperti Thailand dan India, kini mula mendapat perhatian ramai.
Menu tidak rasmi negara itu, mohinga disenaraikan dalam buku pelancongan pertama dunia, Lonely Planet sebagai salah satu makanan jalanan terbaik di dunia.
Buku tersebut turut menyatakan bahawa bihun sup negara itu merupakan contoh terbaik yang menggabungkan kebanyakan hasil bumi yang terdapat di Myanmar.
“Semua orang tahu hidangan Thai, jadi kami juga patut memperkenalkan kepada dunia makanan rasmi Myanmar,” ujar Phyu Phyu Tin, pemilik restoran Monsoon.
Pengurus restoran tersebut, Aung Moe Winn pula menyatakan bahawa, Myanmar telah kehilangan ramai tenaga kerja muda kerana berhijrah ke luar negara.
“Trend penghijrahan itu diharap dapat berubah kerana kami mahu mereka menggunakan kualiti dan kemahiran tersebut untuk membangunkan negara mereka sendiri,” ujarnya.
– AFP
No comments:
Post a Comment