Menjaga kebajikan kucing terbiar
|
BUNYI goncangan bekas yang berisi biskut itu cukup membuatkan beberapa ekor kucing jalanan berlari-lari lalu menghampiri wanita yang memegang bekas makanan tersebut.
Seolah-olah telah lama mengenalinya, kucing-kucing tersebut menggesel-geselkan bandan mereka dengan manja pada kaki wanita tersebut.
Sambil mengusap-usap tubuh haiwan-haiwan comel itu dengan penuh kasih sayang, wanita itu menaburkan biskut tersebut dengan cermat di atas lantai. Taburan biskut itu sekali gus menghentikan ngiauan kucing-kucing yang sememangnya kelaparan.
Rutin itu diulangi di setiap lorong di sebuah kawasan awam di Hulu Klang, Selangor yang menjadi 'kediaman tetap' puluhan ekor kucing jalanan.
Sejak setahun yang lalu, Shahriza Idrus, 32, sudah terbiasa dengan rutin itu. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 14 ekor kucing jalanan telah dibawa pulang ke rumahnya.
Menurut Shahriza, penglibatannya dalam memberi makan kepada kucing-kucing jalanan itu bermula secara tidak sengaja.
Cerita Shahriza, segala-galanya bermula kerana fikirannya terganggu lantas dia memandu seorang diri di kawasan tersebut.
Ketika itu dia terlihat beberapa ekor kucing terbiar dalam keadaan sangat menyedihkan. Hasil pemerhatian Shahriza, kucing-kucing itu kelihatan kurus, tidak bermaya dan kelaparan.
Tanpa berlengah, dia terus membeli makanan kucing dan memberi mereka makan. "Apa yang saya lakukan ini sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada saya, sekali gus dapat membantu kucing-kucing yang kebuluran ini," jelas Shahriza yang bekerja sebagai pengurus acara di sebuah syarikat tempatan.
|
|
Lebih menyentuh hati apabila Shahriza memanggil kucing-kucing itu dengan nama-nama tertentu, sekali gus menunjukkan betapa beliau begitu mengenali setiap kucing di kawasan tersebut.
"Setiap malam saya tidak pernah gagal memberi mereka makan dan kebiasaannya saya akan berada di kawasan ini sekitar pukul 12 malam ke atas.
"Kalau saya tidak memberi mereka makan walaupun sehari, saya rasa tidak tenang," katanya.
Menjelang hari raya, Shahriza akan pulang ke kampung sehari sahaja dan pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Semua itu dilakukan bagi memastikan kesemua kucing jalanan itu tidak kebuluran kerana sebahagian besar kedai ditutup ketika itu.
Buang kucing
Berbekalkan pengalamannya dalam beberapa misi menyelamatkan kucing bersama Stray Cats Rescue And Treatment Community Help (SCRATCH) ataupun Kucing Terbiar Dan Anjing Jalanan (KTAJ), Shahriza merupakan antara ribuan masyarakat Malaysia yang prihatin terhadap haiwan.
Setiap bulan, dia memperuntukkan antara RM150 sehingga RM200 bagi menyediakan makanan untuk kucing-kucing jalanan. Jumlah itu itu tidak termasuk kos perubatan kucing yang tercedera, sakit dan sebagainya.
"Saya tidak melihat hal ini sebagai beban kerana saya seronok menjalankan kerja-kerja sebegini. Namun, segelintir individu cuba mengambil kesempatan di atas keikhlasan kami.
"Pernah beberapa kali saya melihat orang awam membuang kucing di kawasan ini kerana mereka tahu ada orang yang menjaga kebajikan kucing-kucing ini.
"Saya terkilan dengan sikap manusia sebegini kerana melepaskan tanggungjawab selaku tuan kepada haiwan itu kepada masyarakat. Kucing bukan haiwan untuk disayangi kemudiannya dibuang, jika tidak mahu bela lagi, sila cari alternatif lain yang lebih menjamin keselamatan kucing tersebut," luah Shahriza dengan nada kesal.
Seorang lagi penyelamat kucing jalanan, Bazilah Bahrin, 25, atau mesra disapa Bella pula menceritakan, beliau sudah beberapa kali membawa pulang kucing jalanan yang berada dalam keadaan menyedihkan ke rumahnya dan dipelihara sehingga kini.
|
|
Kawal populasi
"Di sini (Kuala Lumpur), saya mempunyai tiga ekor kucing dan kesemuanya merupakan kucing jalanan. Di kampung pula, saya memiliki hampir 30 ekor kucing. Saya memang sudah bergelumang dengan kucing sejak kecil.
"Saya tidak memberi makan kepada kucing jalanan dengan kerap, tetapi saya sentiasa membawa biskut kucing di dalam beg. Jika terjumpa kucing jalanan, saya akan beri mereka makan," ujarnya yang amat sensitif apabila berbicara soal kekejaman manusia terhadap haiwan.
Meskipun tidak pernah lelah melunaskan tanggungjawab mereka terhadap haiwan malang itu, kedua-dua wanita muda itu menyuarakan sokongan mereka terhadap alternatif mengembiri kucing-kucing jalanan bagi mengawal populasi haiwan tersebut.
Ujar Shahriza, kucing-kucing yang sudah cukup usianya wajar dikembiri. Ia dapat membantu meringankan beban masyarakat merawat kucing-kucing jalanan yang berdepan risiko pelbagai penyakit berbahaya termasuklah kezaliman manusia.
"SCRATCH adakalanya menjalankan program Catch Neuter Release Manage (CNRM) iaitu mengembiri sekumpulan kucing jalanan menggunakan dana kami dan kemudiannya dilepaskan semula ke tempat asal mereka.
"Kucing-kucing jalanan yang telah dikembiri dapat dikesan menerusi telinganya yang telah ditanda dengan lubang kecil bagi memudahkan persatuan kami mengenal pasti kucing yang belum dikasi," jelas Shahriza yang turut mengeluarkan belanja sendiri bagi mengembiri kucing-kucing jalanan yang berada dalam jagaannya.
Bella pula yang pada awalnya tidak menyokong tindakan itu bagaimanapun kini sependapat dengan kebanyakan penyelamat kucing jalanan. Beliau mendapati alternatif itu mendatangkan banyak kesan positif kepada pelbagai pihak.
"Daripada mereka hidup melarat, lebih baik kita kembirikan dengan harapan pembiakan mereka dapat dikurangkan.
"Kurangnya populasi kucing jalanan ini dapat membantu mengatasi masalah pembuangan kucing, kekotoran di kedai-kedai makan akibat sisa-sisa makanan yang dibuang dan penyakit berjangkit dalam kalangan mereka," ujar Bella yang tidak menyokong penghapusan kucing menerusi kaedah put to sleep (PTS) atau mereka dimatikan dengan sejenis ubat yang disuntik pada badan.
Kos kembiri\
Bella juga berpendapat, adalah tidak adil kepada kucing-kucing jalanan perlu mematikan dengan kaedah tersebut. Bahkan, beliau berpandangan adalah lebih baik jika pihak-pihak tertentu mengeluarkan sedikit kos bagi mengembiri kucing-kucing tersebut dan melepaskan mereka di tempat asal.
"Saya sentiasa menggambarkan PTS umpama satu hukuman mati atas kesalahan yang mereka tidak lakukan," cerita Bella penuh emosi.
Sebagai pencinta haiwan dan masyarakat prihatin, kedua-dua wanita itu melihat Malaysia sebagai negara yang masih lemah dari segi penguatkuasaan undang-undang berkaitan kucing dan anjing jalanan.
Secara kasar, usaha majlis-majlis perbandaran dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam menangani masalah ini masih belum utuh. Beban menyelamatkan kucing dan anjing jalanan ibarat diserahkan bulat-bulat kepada masyarakat dan badan-badan sukarelawan.
Sudah tiba masanya kerajaan memandang serius permasalahan ini yang dilihat remeh, namun hakikatnya ia dapat membantu menyelesaikan banyak masalah.
No comments:
Post a Comment