Taman indah dalam pusat beli-belah BTS
|
|
RUANG dalaman tingkat tiga pusat beli-belah Berjaya Times Square (BTS), Kuala Lumpur ceria dengan hiasan tumbuh-tumbuhan replika menghijau.
Meliputi kawasan seluas 5,000 kaki persegi (464 meter persegi) dikenali sebagai Central Park, seluruh kawasan tingkat itu diubah suai semula dengan tema kehijauan.
Ia dilihat menjadi ikon baharu BTS selepas pengurusan pusat beli-belah itu memperkenal 1st Avanue dan 5th Avenue di situ yang mengambil inspirasi ala pusat beli-belah di New York.
Central Park yang mengambil enam bulan proses renovasi juga adalah inisiatif untuk pihak BTS menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah yang terletak di Kuala Lumpur itu.
Menempatkan kira-kira 40 gerai jualan di lot perniagaan Central Park, ia menjual pelbagai barangan daripada busana fesyen sehinggalah aksesori.
“Kami menggunakan replika tumbuhan renek untuk menghiasi kawasan ini. Ia memberikan satu persekitaran yang dingin. Sebanyak empat replika tumbuhan berbeza digunakan dan semuanya melibatkan kos sebanyak RM3.5 juta,” kata Pengurus Pemasaran dan Promosi Kanan BTS, Tan Boon Leong.
Usaha yang melibatkan rekaan beberapa pereka dalaman, menawarkan pemandangan yang sangat unik dan cantik terutamanya apabila pengunjung berada di tingkat atas Central Park.
“Selain untuk tujuan membeli-belah gaya bazar, dekorasi hijau di Central Market memberi suasana yang ceria dan selesa kepada pengunjung untuk membeli-belah,” katanya.
Harga barang murah
Ujarnya lagi, pihak pengurusan menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap Central Park kerana BTS sendiri mempunyai trafik pengunjung mencecah 2.2 hingga 2.3 juta orang sebulan.
Oleh yang demikian, Central Park juga diyakini akan menarik lebih ramai pengunjung dan ia dibuktikan dengan trafik yang bertambah sejak Central Park diperkenal baru-baru ini.
“Oleh kerana itulah, pihak pengurusan telah menetapkan sewa yang tinggi kepada penyewa gerai di sini.
“Kami percaya, setiap penyewa di sini pasti akan mendapat keuntungan berganda,” ujar Boon Leong merujuk kepada sewa gerai yang mencecah RM86 sekaki persegi (0.09 meter persegi).
Deretan gerai-gerai kecil yang dihiasi cantik dengan landskap hijau, tambah ceria apabila penggerai juga menyuntik inisiatif sendiri menyusun atur kemas produk jualan mereka.
Bahkan, pengunjung bukan sahaja pasti gembira apabila dijamu mata dengan dekorasi hijau malah, tawaran harga murah yang ditawarkan penggerai.
Hanya dengan RM10, anda boleh memiliki tali pinggang bergaya untuk wanita atau RM25 untuk pakaian dres yang cantik.
Bagi kaum Adam pula, dengan harga RM25 hingga RM35, cermin mata gelap boleh menjadi milik mereka.
Antara gerai di Central Park yang wajib dikunjungi termasuklah Macco Gifts yang menawarkan pouch dan aksesori telefon bimbit pintar.
Tidak ketinggalan Shuz Box untuk kasut wanita dan Planet Pop untuk mendapatkan snek bertih jagung sambil membeli-belah.
No comments:
Post a Comment