Sempat merangkak keluar
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Pemandu dan penumpang sebuah pacuan empat roda sempat merangkak keluar sebelum kenderaan dinaiki mereka terbakar dan hangus dijilat api beberapa saat kemudian.
Dalam kejadian jam 6.45 petang semalam, dua mangsa terselamat selepas Perodua Kembara dinaiki terbalik sebelum terbakar berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Kilometer 247, Lebuhraya Utara Selatan, di sini.
Kejadian berlaku selepas kenderaan dinaiki Ketua Keselamatan Pas Lenggong, Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin, 42, dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Mohd Saidi Sabri, 39, dari arah Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik beberapa kali dan terbakar.
Saksi yang hanya mahu dikenali Michael, 36, berkata, dia dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Kuala Kangsar ketika kejadian berlaku.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya seperti tidak percaya melihat kereta itu terbalik beberapa kali di tengah laluan lebuh raya.
“Saya fikir pemandu kenderaan itu pasti parah atau lebih buruk, tetapi terkejut melihat dua lelaki merangkak keluar dan hanya cedera ringan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Ramzi yang dihubungi berkata, kejadian berlaku ketika dia dan Mohd Saidi selesai menghadiri satu mesyuarat di pejabat Perhubungan Pas Perak di Ipoh.
Menurutnya, enjin kenderaan dipandu Ahmad Ramdzi tiba-tiba terhenti dan tidak berfungsi menyebabkan dia melanggar penghadang jalan.
“Kejadian berlaku dengan pantas, tetapi kami bernasib baik kerana sempat keluar sebelum ia meletup terbakar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran dan berjaya mengawal kesesakan lalu lintas kira-kira dua jam kemudian.
“Kedua-dua mangsa hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan pulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment