Ombak Rindu, hak cipta dan membela kepentingan pengkarya
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
KONTROVERSI yang dicetuskan oleh penulis novel Fauziah Ashari mengenai terma perjanjian penerbitan novelnya berikutan penangan 'boom' filem Ombak Rindu, maka judul novelnya seharusnya 'membuka mata' artis mengenai pentingnya Akta Hak Cipta ditelek dan difahami sebaik-baiknya.
Bukannya perkara itu baru tetapi sudah terpampang di depan mata. Fauziah dikatakan menyalahkan pihak penerbit, Alaf 21, kerana berpendapat perjanjian atau kontrak yang ditandatangani 'memakan diri' penulis atau berat sebelah.
Tetapi di pihak Alaf 21, mereka ada jawapannya yang mengikut saluran undang-undang, sebagai penerbit, mereka memiliki hak untuk menguruskan naskhah novel sekiranya ia mahu diadaptasi ke pementasan teater, filem dan sebagainya.
Realitinya pindaan Akta Hak Cipta 1987 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini dan bakal dikuatkuasakan sebelum Jun tahun depan bagi membela nasib penggiat seni tanah air mempunyai pelbagai manfaat dan larangan boleh atau tidak boleh yang perlu dipatuhi.
Pindaan akta ini adalah satu penyelesaian dalam menangani isu dan masalah pembuktian yang sering dihadapi oleh pemilik karya hak cipta. Sijil pendaftaran hak cipta yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) boleh dijadikan bukti pemilikan 'prima facie' seseorang pemilik karya hak cipta dan boleh dikemukakan di mahkamah.
Bagaimanapun, sekiranya dicabar di atas isu pemilikan dan keaslian, pihak yang terkhilaf boleh mencabar kesahihan tersebut mengikut proses perundangan. Pewujudan sistem pendaftaran hak cipta ini juga mewujudkan satu pangkalan data karya-karya hak cipta yang telah didaftarkan di negara ini.
Lebih menarik lagi, pindaan akta baru ini bukan hanya melibatkan penyanyi sahaja. Ia termasuk mereka yang terlibat dalam industri kreatif seperti pelakon, pelukis, penulis novel dan tidak kira kartun atau pencanting batik.
Terdapat lima fokus utama dan yang pertama adalah berkaitan pembayaran royalti. Ia berkaitan undang-undang yang akan membenarkan pengutip royalti atau badan-badan perlesenan mengutip royalti dengan berlesen.
Sebelum ini tidak ada peraturan tentang perkara ini dan para pengutip ini tidak perlu berdaftar. Sesiapa sahaja boleh menubuhkan sebuah syarikat dan mengutip royalti.
Dan kini melalui undang-undang baru ini, mereka perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan ia akan mengeluarkan lesen untuk mereka.
Namun, jika mereka tidak berbuat demikian maka hukumannya maksimum denda RM500,000. Sebelum ini mereka ini boleh mengutip royalti tetapi pihak artis sendiri tidak tahu apa-apa kerana tidak ada pelantikan secara sah antara artis dan pihak pengutip. Ini membolehkan kedua-dua pihak terikat dengan terma dan syarat tertentu.
Memang sebelum ini pihak kerajaan tidak boleh mencampuri isu-isu pertelingkahan berkaitan pembayaran royalti. Rintihan dan rungutan pihak karyawan tidak boleh diselesaikan secara statutori dan usaha kerajaan untuk membantu pihak karyawan hanya lebih kepada bentuk perundingan.
Artis tidak tahu berapa banyak yang mereka perlu dapat, berapa banyak jumlah kutipan yang telah dibuat serta berapa jumlah yang patut diterima sama ada lima peratus, dua peratus dan sebagainya.
Mereka hanya menerima jumlah tunai mengikut berapa banyak yang diberi oleh pihak pengutip. Dengan pelaksanaan undang-undang ini akan mewujudkan satu jumlah atau harga tetap yang perlu diterima oleh artis.
Menerusi pindaan akta ini juga, kementerian akan mengaktifkan semula Tribunal Hak Cipta. Memang ketika ini sudah ada tribunal tetapi agak susah untuk dibicarakan. Masalahnya, artis tidak tahu berapa jumlah sepatutnya yang perlu dibayar.
Tribunal ini sudah wujud sejak 2003 tapi tidak ada kes yang dibicarakan seolah-olah ia tidak berfungsi. Kini ia akan diaktifkan semula dan akan berlaku lantikan baru ahli panel supaya semua isu yang berkaitan artis akan dibicarakan terus di tribunal.
Pindaan baru turut dibuat untuk memperluaskan bidangkuasa Tribunal Hak Cipta termasuk menerima permohonan aduan dari pelaku.
Dengan filem Ombak Rindu dikatakan boleh mencecah sehingga kutipan RM14 juta, maka tidak hairanlah sesiapa yang ada kaitan dengan penghasilannya bisa 'mendengus'. Namun, 'dengusan' tidak akan bermakna apa-apa tanpa memahami prosedur hak cipta.
No comments:
Post a Comment