Menyelongkar misteri surah Yasin
Oleh : Abu Numair Nawawi Subandi
Tarikh : December 24, 2011
Sebahagian umat Islam di negara kita hari ini apabila membaca al-Quran, kebiasaannya mereka akan lebih sinonim, kenal dan rapat dengan surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Sehingga ada hari-hari khusus bagi membaca dan mengamalkan surah Yasin ini.
Surah Yasin juga sinonim dengan malam Jumaat, sehingga dengannya diadakan majlis-majlis bacaan berjemaah dari rumah ke rumah dan kenduri makan-makan.
Persoalannya, kenapa tidak surah lain dan hanya surah Yasin? Kenapa tidak surah al-Baqarah, atau Ali ‘Imran, atau al-Mu’minuun, atau ar-Rahman, atau rangkaian surah-surah dalam Juz ‘Amma seperti an-Naba’, al-Fajr, atau al-Ikhlas misalnya?
Selain itu, surah Yasin turut sering dikaitkan dengan pelbagai misteri lainnya. Seperti untuk mencari barang yang hilang, untuk mengiringi orang mati, untuk membuat “air Yasin”, bacaan ketika masuk rumah baru, untuk memudahkan jodoh, untuk mengirimkan pahala kepada orang mati, untuk sambutan majlis-majlis tertentu seperti nisfu Syaaban dan seumpamanya yang selainnya.
Malah surah Yasin turut dibukukan dan diterjemahkan secara berasingan menjadi buku-buku khusus seperti buku bersaiz poket, buku cenderamata, buku zikir dan turut dimasukkan ke dalam pakej tahlilan.
Tidak pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya ketetapan bagi surah Yasin seperti ini? Dari al-Quran? Dari sunnah Rasulullah SAW, atau dari amalan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in?
Anjuran membaca al-Quran
Jika yang dimaksudkan adalah galakan dalam membaca al-Quran, maka di sana terdapat anjuran yang banyak tanpa ditentukan surah mana dan tidak juga dikhususkan dengan hari yang mana. Antaranya sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10 kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Persoalannya, kenapa ramai yang mengkhususkan hanya surah Yasin dan tidak surah yang lain?
Fadilat Yasin
Sebenarnya surah Yasin adalah sama pentingnya sebagaimana surah-surah yang lainnya. Ia mengandungi ayat-ayat ALLAH sebagaimana surah-surah lain. Membacanya termasuk ke dalam keumuman dalil-dalil anjuran membaca al-Quran sebagaimana membaca surah-surah yang lain juga.
Tiada fadilat khusus bagi surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Para ulama hadis menjelaskan, hadis-hadis berkaitan fadilat Yasin tidak terlepas, sama ada dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Maksudnya, tiada dalil yang sahih menetapkan fadilat surah Yasin secara khusus.
Sebagai contoh, di antara hadis yang popular tentang surah Yasin ini ialah hadis Qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran). Riwayat hadis tersebut adalah sebagaimana berikut, “Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Quran itu adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya maka ALLAH akan memberi pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Quran sepuluh kali.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan ad-Darimi.
Setelah Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) membawakan hadis ini, beliau pun berkata, “Hadis ini gharib (asing, tidak dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad, beliau seorang yang majhul (tidak dikenali). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhaif.” (Sunan at-Tirmidzi, 10/121)
Kalaupun sahih hadis ini, maka ia tetap bukan dalil untuk mengkhususkan surah Yasin dengan pengkhususan-pengkhususan tertentu seperti bacaan khas malam Jumaat, untuk menjampi air dan sebagainya.
Bukan untuk orang mati
Surah Yasin juga sering dikaitkan dengan kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa hadis dan ia tidak lepas daripada kelemahan atau kepalsuan (maudhu’). Di antara hadisnya adalah sebagaimana yang datang dari jalan (sanad) Sulaiman at-Taimi, daripada Abu ‘Utsman, daripada ayahnya, daripada Ma’qil bin Yasar, beliau mengatakan, Rasulullah SAW bersabda:
“Bacakanlah ke atas mereka yang mati surah Yasin.” Atau, “Bacakanlah Yasin ke atas mereka yang mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Lihat: Talkhis al-Habir oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, 2/244)
Hadis ini lemah (dhaif) antaranya kerana pada sanadnya terdapat perawi bernama Abu ‘Utsman dan ayahnya yang merupakan seorang majhul (tidak dikenali). Hadis ini juga dikategorikan sebagai hadis mudhtharib, iaitu tidak kukuh sanadnya.
Di antara ulama hadis yang menegaskan kelemahan hadis ini ialah Imam ad-Daruquthni (Wafat: 285H), Abu Bakar Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H), an-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnul Qaththan (Wafat: 813H), al-Hafiz Ibnu Hajar (Wafat: 852H), al-Albani dan ramai lagi selainnya. (lihat: Talkhis al-Habir, 2/244. al-Adzkar, m/s. 122. Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah, 12/783)
Imam ad-Daruquthni rahimahullah mengatakan, “Tiada satu hadis pun yang sahih dalam bab ini.” Iaitu tiada hadis yang menganjurkan membaca Yasin kepada orang mati.
Begitu juga dengan hadis, “... Surah Yasin adalah qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan ALLAH dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Al-Quran untuk yang hidup
Masyarakat Melayu terkenal membacakan Surah Yasin untuk orang mati atau yang sedang nazak menghadapi sakaratul maut. Tetapi ironinya, selama kita membaca atau menghafal surah Yasin, pernahkah kita memahami dan menghayati apa yang terkandung dalam ayat-ayatnya? Bukankah dalam surah Yasin terdapat ayat:
“Al-Quran itu tidak lain adalah peringatan dan kitab yang memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan untuk orang-orang yang hidup dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36: 69-70)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Maksudnya supaya peringatan al-Quran ini menjadi bukti yang nyata bagi setiap yang hidup di atas muka bumi ini.” Beliau juga mengatakan, “Orang yang dapat mengambil manfaat peringatan daripada al-Quran adalah orang-orang yang hidup hatinya dan yang terang pandangannya. Sebagaimana kata Qotadah, “Hati yang hidup adalah dengan hidupnya pandangan.” Juga sebagaimana kata adh-Dhahhak, “Iaitu orang yang berakal.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/592)
Ini menegaskan bahawa al-Quran ini adalah untuk orang-orang yang hidup, iaitu untuk orang-orang beriman dan mereka yang mahu mengambil pelajaran. Bukan untuk orang telah mati. Termasuklah surah Yasin, ia pelajaran untuk orang yang hidup.
Sekiranya setiap surah atau ayat-ayat al-Quran tertentu itu mahu dikhususkan dengan kelebihan-kelebihan khusus, maka kita perlu mengkhususkannya berdasarkan dalil dan petunjuk Rasulullah SAW. Kita tidak boleh menetapkan atau mengkhususkannya dengan akal, sangkaan, atau hawa nafsu. Agama kita ini tidak sampai kepada kita secara misteri, sebaliknya datang dengan hujah dan dalil yang jelas.
Walaupun surah Yasin ini tiada dalil sahih tentang fadilatnya secara khusus, ini bukan bermakna ia tidak boleh dibaca pada hari Jumaat dan hari-hari lainnya. Surah Yasin tetap dibaca sebagaimana surah-surah yang lain, cuma tidaklah perlu dikhususkan pada hari-hari tertentu atau dengan kaedah-kaedah khusus tertentu.
Adapun bacaan surah secara khusus pada hari Jumaat yang padanya disebutkan kelebihannya dari sunnah adalah Surah al-Kahfi, namun ia sering dilupakan masyarakat kita. Ini sebagaimana Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, ALLAH akan meneranginya daripada cahaya di antara dua Jumaat.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i dan al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani) - Wallahualam.
http://an-nawawi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment