Saturday, April 14, 2012

basikal

Membudayakan gaya hidup berbasikal



DI AMSTERDAM, Belanda, 40 peratus penduduknya menggunakan basikal untuk ke tempat kerja atau bersiar-siar di bandar. Untuk rekod, Belanda merupakan negara yang mempunyai jumlah penunggang basikal tertinggi dunia.
Mengikut perangkaan pada tahun lalu, 99.1 peratus daripada keseluruhan rakyat di negara itu menjadikan kenderaan klasik tersebut sebagai pengangkutan utama mereka di bandar.
Sementara di Copenhagen, Denmark, menunggang basikal dianggap kaedah yang lebih mesra alam, menyihatkan, murah malah lebih pantas berbanding kereta. Justeru, Copenhagen berani mentafsirkan bahawa penunggang basikal di negara itu akan meningkat antara 40 hingga 50 peratus dalam jangka masa tiga tahun lagi.
Atmosfera yang sama sebenarnya berlaku di Jerman, Sweden, Norway, Finland, Jepun termasuk Australia dan New Zealand.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehangatan berbasikal umpama menjadi satu trend yang digilai terutamanya dalam kalangan remaja.
Lihat sahaja gelombang basikal fixie mahupun basikal lipat di ibu negara. Mereka yang mengangkut basikal ke dalam sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kini, bukanlah satu perkara aneh.
Bertitik tolak daripada itu, seorang usahawan muda, SM Faris SM Zulkifli, 20, menyemarakkan lagi fenomena berbasikal di negara ini dengan membawa jenama Avanti yang begitu kukuh dan popular di New Zealand sejak tahun 1985.
Ketika ditemui di kedai konsep BikePlus Avanti yang terletak di Plaza TTDI, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, SM Faris berkongsi misi dan visinya.

SM FARIS mempunyai misi besar dalam mengembangkan empayar bisnes yang baharu dijananya.


Namun, seawal bicara, dia yang merupakan Pengarah SMS BikePlus Sdn. Bhd. berkata: “Kedai basikal yang ada sekarang, pilihannya sangat terhad. Ada yang terlalu mahal dan ada yang terlalu murah.
“Melihat kepada situasi itu, saya membawa Avanti iaitu satu jenama yang menjual basikal dengan purata harga murah iaitu bermula pada harga RM1,000 lebih hingga yang termahal, mencecah lebih RM30,000.”
Perancangan memperkenalkan bisnes itu di negara ini telah mendorongnya melakukan beberapa kajian dan perbincangan bersama keluarga dan sepupu-sepupunya. Kira-kira dua bulan selepas itu, impian anak muda tersebut menjadi realiti apabila Avanti berjaya dilancarkan pada 22 Februari lalu.
SMS BikePlus yang dikendalikan SM Faris tidak tertakluk di Malaysia sahaja kerana syarikat itu juga merupakan pengedar tunggal jenama itu di Brunei dan Indonesia. SMS Bikeplus turut terbabit dalam membiayai pasukan basikal profesional dari New Zealand, Pure Black Racing.
Variasi pilihan
SM Faris memiliki segenap pengetahuan tentang Avanti dan bersungguh-sungguh menceritakan tentang bisnes baharunya itu.
Ujarnya, rangkaian basikal yang dibawanya untuk pasaran tempatan ialah model basikal perlumbaan, basikal prestasi dan basikal bukit.
Namun, yang paling mencuri tumpuan pastinya model terpantas UCI dalam terowong angin iaitu Avanti Chrono Evo II Di2 yang ditawarkan pada harga RM35,801 seunit.
Dalam sesi wawancara itu juga, SM Faris turut mendemonstrasikan basikal paling ringan di kedai konsep itu dengan mengangkatnya dengan sebelah tangan sahaja.
Basikal itu ialah jenis Avanti Quantum Silver yang dijual pada harga jualan RM30,685 sebuah.
Premis seluas 185 meter persegi yang dibuka dengan pelaburan sebanyak RM700,000 itu juga turut memuatkan basikal untuk golongan kanak-kanak seperti jenis BMX.
“Avanti menawarkan basikal khas untuk wanita. Santai bersama keluarga akan menjadi lebih menghiburkan dan bermakna dengan Avanti yang menyediakan basikal pelbagai saiz dan bentuk yang elegan,” kata bekas graduan Diploma Perniagaan, Kolej Taylor's Subang Jaya (TCSJ) sambil memberitahu jenama Avanti sebenarnya sudah mempunyai peminatnya tersendiri.

ANTARA aksesori tambahan yang disediakan buat para peminat aktiviti berbasikal.


Perspektif SM Faris berskala luas. Dia tidak hanya membawa jenama Avanti tetapi turut memperkenalkan jenama Volta iaitu jersi lengkap untuk kelengkapan seorang penunggang basikal.
“Untuk kecergasan, suplemen dan minuman tenaga Peakfuel turut diketengahkan. Kepada para pembeli, anda jangan risau sebab kedai konsep kami dibarisi oleh konsultan yang berpengetahuan.
“Jika ada pengubahsuaian hendak dilakukan seperti basikal untuk ke tempat kerja, variasi aksesori (jenama Zero) yang berkualiti disediakan,” ujar anak kedua dari empat beradik itu.
Momentum positif
Sesungguhnya percaturan anak muda itu yang berani menongkah arus perdana tidak sia-sia. Jenama Avanti cepat menangkap perhatian masyarakat.
“Alhamdullillah, ia sudah menarik golongan peminat baharu dan tidak sampai sebulan, 20 unit basikal sudah terjual. Kami berhasrat untuk menjual kira-kira 100 unit basikal setiap bulan dan meletakkan sasaran pendapatan bulanan sebanyak RM500,000,” ujarnya yang merupakan kesinambungan kepada legasi tokoh korporat negara, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan Datuk SM Shalahuddin.
Momentum positif SMS BikePlus diteruskan dengan perancangan untuk membuka tiga lagi bilik pameran di Pulau Pinang, Terengganu dan Melaka tidak lama lagi.
Serentak dengan itu, pihaknya juga membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi pengedar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

SMS Bikeplus dibarisi oleh pekerja yang berkemahiran dan berpengetahuan serta mesra pelanggan.


Bandar basikal
SM Faris ternuyata bersemangat berkongsi gagasannya. Dia mengimpikan untuk mewujudkan beberapa bandar basikal di negara ini seperti di Jepun dan Australia.
“Antara yang terbayang di fikiran saya ialah di Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Pulau Pinang.
“Saya berkeyakinan ia akan menjadi satu kenyataan kelak sekiranya mendapat sokongan daripada masyarakat dan kerajaan. Saya rasa kita tak perlu tunggu sampai jalan kita sesak teruk, barulah kita nak aplikasikan,” katanya penuh ketegasan.
Bagi menunjukkan contoh yang baik, SM Faris mengakui, dia sendiri gemar berbasikal bersama rakan-rakannya termasuk keluarganya.
“Sebelum ke tempat kerja, lebih kurang pada pukul 5 atau 6 pagi, saya akan berbasikal. Nikmat selepas berbasikal sungguh luar biasa dan saya berasa sangat segar.
“Saya rasa sudah tiba masanya rakyat di negara ini membudayakan diri dengan berbasikal ke tempat kerja waima ke destinasi-destinasi lain di dalam bandar,” katanya yang juga ingin mengembangkan pasaran Avanti di Brunei dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment