Monday, April 9, 2012

kad g

KAT-G bantu pekebun kecil
FAIRUS MOHD
9 April 2012
Pekebun kecil getah di Mukim Temai dan kawasan berhampiran tidak ketinggalan mengisi borang permohon
PEKAN - Kad Autoriti Transaksi Getah (KAT-G) dapat membantu setiap pekebun kecil getah mengekang kegiatan penjualan getah curi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pegawai Risda Daerah Pahang Timur, Khairil Harris Abdul Khalid berkata, penggunaan kad itu berkuat kuasa 1 Januari lalu dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pekebun.

Menurutnya, permohonan boleh dibuat melalui borang yang diedarkan dan penggunaan kad itu memberi satu dimensi baru kepada aktiviti penjualan getah dalam kalangan pekebun kecil yang bergantung kepada hasil berkenaan sebagai punca pendapatan.

“Pembeli getah berlesen hanya boleh membuat transaksi pembelian getah daripada pekebun kecil yang mempunyai KAT-G sahaja dan ia digunakan sebagai permit sah.

“Penggunaan kad ini secara wajib dapat mengurangkan kes kecurian getah selain memudahkan penyaluran bantuan kepada pekebun yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairil berkata, penggunaan kad itu juga memudahkan kerja mengumpul data dan maklumat mengenai tanaman getah sektor kecil, selain dapat membantu usaha membangunkan pangkalan data pekebun kecil di seluruh negara.

“Setiap pemohon perlu membawa kad pengenalan dan salinan geran tanah atau resit hasil, manakala bagi mereka yang belum mendapat hak milik tanah perlu mendapat pengesahan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), penghulu atau ketua kampung masing-masing.

“Jika tiada perubahan mengenai keluasan kebun, jenis tanaman dan pemilik atau pengusaha, kad ini boleh terus digunakan kerana tidak mempunyai sebarang tempoh had masa. Setiap pekebun boleh mendapatkannya mengikut jadual pengeluaran kad di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, setiap pekebun bertanggungjawab ke atas kad masing-masing dan menjadi satu kesalahan bagi mereka yang menjual getah tanpa mengemukakan KAT-G semasa transaksi jual beli dilakukan.

“Kesalahan juga bakal ditanggung pelesen yang membeli getah daripada pekebun kecil yang tidak memiliki KAT-G dikeluarkan secara rasmi oleh Lembaga Getah Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment