Saturday, April 14, 2012

pembaiyaan

ARKIB : 14/04/2012

Kenali perbezaan antara skim pembiayaan peribadi, kereta dan hartanah


Pembiayaan jangka panjang seperti rumah dan hartanah lain menggunakan kaedah baki berkurangan yang lebih menjimatkan kos. - Gambar hiasan


SAYA fikir semua skim pembiayaan adalah sama sehingga baru-baru ini saya diberitahu ada perbezaan antara pembiayaan peribadi, pembiayaan hartanah dan pembiayaan kereta dan kadar berbeza dikenakan kepada pelanggan berbeza. Bolehkah saya mengetahui bagaimana kaedah pengiraan kadar pembiayaan-pembiayaan itu dan mengapa ia berbeza antara satu sama lain?
PEMBIAYAAN boleh dibahagikan pada amnya kepada dua jenis, iaitu bercagar dan tidak bercagar. Pembiayaan bercagar mensyaratkan peminjam menggadaikan aset tertentu sebagai cagaran bagi pembiayaan yang diberikan oleh bank.
Contoh umum pembiayaan bercagar ialah skim pembiayaan kereta dan hartanah. Sebaliknya, bagi pembiayaan tidak bercagar, peminjam tidak perlu memberikan cagaran atau menyediakan penjamin, seperti kebanyakan produk pembiayaan peribadi di pasaran.
Memang benar bahawa terdapat kadar dan kaedah berbeza untuk jenis pembiayaan berbeza. Sebagai panduan umum, pembiayaan tidak bercagar tanpa sebarang cagaran mewujudkan risiko lebih tinggi kepada bank.
Maka tidak menghairankan jika pembiayaan seperti ini mengenakan kadar lebih tinggi kepada pelanggan.
Sebaliknya, proses membiayai pembelian aset tetap yang dicagarkan, yang mempunyai nilai pasaran saksama, mempunyai risiko lebih rendah bagi bank, kerana bank boleh menampung sebarang kerugian hutang yang ditanggung menerusi penjualan aset yang dicagarkan.
Justeru memang wajar jika pembiayaan bercagar mengenakan kadar yang lebih rendah.
Selain daripada itu, pembiayaan jangka pendek seperti skim pembiayaan peribadi dan kereta menggunakan kaedah pengiraan garis lurus, iaitu kadar bulanan ke atas had asal dan bukannya atas jumlah baki hutang.
Manakala, pembiayaan jangka panjang seperti rumah dan hartanah lain menggunakan kaedah baki berkurangan yang lebih menjimatkan kos, kerana kadar dikira atas baki hutang yang belum jelas.
Terdapat keadaan tertentu, seperti overdraf, di mana pembiayaan dikenakan pada kadar premium walaupun pembiayaan adalah bercagar.
Premium tersebut dikenakan selepas mengambil kira kemudahan kredit yang sentiasa tersedia bagi pelanggan dan juga tunai yang boleh dikeluarkan oleh pelanggan untuk perbelanjaan peribadi mereka apabila mereka perlu.
Kadangkala kadar berbeza dikenakan untuk produk yang sama disebabkan perbezaan kelayakan atau taraf kredit pelanggan.
Secara kesimpulan, harga berkait secara langsung dengan risiko yang dianggap ditanggung oleh bank bagi produk pembiayaan dan juga pelanggan. Maka pelanggan yang memohon untuk produk pembiayaan harus memahami kos, ciri dan syarat, dan mendapatkan produk yang paling sesuai dengan keperluannya.

No comments:

Post a Comment