Sunday, April 15, 2012

titanic

ARKIB : 15/04/2012

Suka duka Titanic


GAMBAR yang diambil menggunakan kamera resolusi tinggi yang jelas menunjukkan kedudukan serta gambaran sebenar ia ditemui.


HARI ini genap 100 tahun kapal RMS Titanic tenggelam ke dasar laut ketika dalam perjalanan pertamanya dari Southampton, England ke New York, Amerika Syarikat (AS).
Kapal tersebut karam di bahagian utara Lautan Atlantik setelah terlanggar bongkah ais, mengorbankan 1,514 penumpang dan anak kapal.
Kisah Kapal RMS Titanic sering saja menarik perhatian ramai. Apatah lagi dengan kejayaan filem Titanic keluaran 1997, ia seolah-olah memacak ingatan kita semua terhadap kisah kehebatan pembinaannya sehinggalah ‘tersungkurnya’ kapal yang dikatakan “tidak mungkin tenggelam” itu.
Sejarah pembinaan kapal ini sejak dari awal lagi telah menempa nama sebagai kapal paling hebat pernah dicipta pada zamannya.
Dibina di Belfast, Ireland oleh syarikat Harland and Wolff pada September 1908, kapal ini dimiliki oleh syarikat White Star Line. Selain RMS Titanic, dua buah kapal lagi turut dibina bersama iaitu RMS Olympic dan HMHS Britannic yang turut dimiliki oleh White Star Line.
Kapal ini siap dibina pada penghujung Mac 1912 dan percubaan pertama pelayarannya dilakukan pada 2 April 1912, lapan hari sebelum ia dijadualkan melakukan pelayaran pertama.
Walaupun ramai yang meragui kenapa kapal ini perlu menjalani pelayaran pertamanya secara tergesa-gesa, hanya beberapa minggu selepas ia disiapkan, namun sehingga saat akhir pelepasannya semuanya kelihatan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Mengikut jadual yang telah dirancang, kapal RMS Titanic bersama dua lagi kapal RMS Olympic dan HMHS Britannic dijadualkan belayar ke New York pada setiap Rabu minggu ketiga dari Southampton dan Sabtu dari New York.
Dalam perjalanan ke New York, kapal tersebut turut singgah di bandar Cherbourg, Perancis dan bandar Queenstown (kini dikenali sebagai Cobh) di Ireland untuk mengambil penumpang dan kargo.

Kemewahan
Titanic sememangnya dibina dengan spesifikasi tertinggi serta hiasan dalaman yang menunjukkan kelas kemewahan terbaik untuk penumpangnya. Namun untuk penumpang kelas bawahan mereka diletakkan di kawasan berasingan.
Kapal ini mampu menempatkan seramai 739 penumpang kelas pertama, 674 kelas kedua dan 1,026 penumpang kelas ketiga. Pada hari pelayaran pertamanya, kapal ini membawa penumpang seramai 2,224 orang termasuk 900 anak kapal walaupun dikatakan ia mampu membawa 3,339 orang.
Hiasan dalamannya menyerlahkan kemewahan dengan penggunaan gaya Empire dan Victorian terutama di kelas pertama.
Tujuannya bagi memberi gambaran kepada penumpang seolah-olah mereka bukan berada di dalam sebuah kapal tetapi di sebuah hotel atau perumahan mewah di tepi pantai.
Di bahagian kelas pertama, ia turut dilengkapi kolam renang, gimnasium, sistem telefon, perpustakaan dan pelbagai lagi peralatan dan kemudahan-kemudahan mewah lain.
Pastinya keadaan sebegini tidak terdapat di bahagian kelas tiga yang kebanyakannya dihuni golongan miskin yang mahu berhijrah ke AS untuk mencari kehidupan lebih baik.
Karam
Selepas empat hari meninggalkan pelabuhan Southampton pada 14 April 1912, kapal ini terlanggar bongkah ais gergasi pada pukul 11.40 malam (waktu tempatan).
Pelanggaran ini telah mengakibatkan badan kapal tersebut rosak teruk serta merosakkan lima daripada 16 bahagian kedap air. Dalam tempoh hanya dua jam setengah, kapal ini penuh dimasuki air dan hanya menanti masa untuk karam.
Kesilapan utama kapal ini walaupun dilengkapi peralatan canggih serta pesona reka bentuk dalaman mewah, malangnya ciri-ciri keselamatannya masih ketinggalan zaman. Ini kerana bot penyelamat yang disediakan tidak mencukupi untuk semua penumpang di atas kapal.
Kapal ini hanya membawa 20 bot penyelamat yang boleh membawa 65 orang pada satu-satu masa selain dua buah bot kecil. Namun adalah tidak menjadi kesalahan pada ketika itu untuk membawa bot penyelamat yang lebih sedikit berbanding jumlah sebenar penumpang.
Ini kerana untuk kapal seberat 10,000 tan ia hanya perlu membawa 16 bot penyelamat yang boleh membawa 900 orang. Oleh itu Kapal Titanic tidak melakukan kesalahan pada waktu itu malah ia membawa lebih banyak bot penyelamat daripada yang dibenarkan.
Namun akibat undang-undang lapuk ini terlalu banyak nyawa terpaksa dikorbankan. Akibatnya hanya 710 orang berjaya diselamatkan.
Polisi ‘selamatkan kanak-kanak dan wanita dahulu’ juga mengakibatkan 90 peratus lelaki, kebanyakannya daripada bahagian kelas kedua dan ketiga terpaksa ditinggalkan di atas kapal. Seramai 693 anak kapal yang terpaksa turut sama terkorban.
Mereka yang cuba menyelamatkan diri dengan terjun dari kapal kemudiannya mati akibat hipotermia iaitu kesejukan melampau.
Akhirnya apabila jam menunjukkan waktu 2.20 minit pagi, kapal tersebut terpecah kepada dua bahagian dan mula karam perlahan-lahan membawa lebih 1,000 orang tenggelam bersamanya.
Mereka yang bernasib baik kemudiannya telah diselamatkan oleh anak kapal RMS Carpathia beberapa jam kemudian.
Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terkorban. Bagi keluarga anak kapal, mereka kehilangan ketua keluarga yang menyara kehidupan mereka selama ini.
Namun keprihatinan telah ditunjukkan orang ramai yang bertindak menderma untuk mengurangkan beban mereka.
Paling penting, kejadian ini telah membuka mata pihak berkuasa maritim untuk lebih menumpukan perhatian terhadap aspek keselamatan.
Penemuan
Hakikatnya selepas 100 tahun kapal ini tenggelam, ia masih jadi topik bualan masyarakat terutama di Barat.
Selepas beberapa percubaan untuk mengesan kapal ini, pada 1 September 1985, ia kedudukan sebenarnya berjaya dikesan.
Teori tentang lokasi asal kapal itu turut terungkai – lapan kilometer daripada maklumat asal yang dihantar oleh anak kapalnya sebelum ia tenggelam.
Malah penemuan tersebut turut mendedahkan bahawa ia terpecah dua sebelum tenggelam pada kedalaman 3,784 meter di dasar laut.
Orang yang berjaya menemuinya ialah Dr. Robert Ballard bersama kumpulannya.
Penemuan pada pukul 2 pagi waktu tempatan itu berjaya dilakukan menggunakan kamera yang diletakkan di dalam kapal selam kecil yang dinamakan Jason Junior (JJ).
Enam hari dihabiskan untuk mengkaji hampir setiap inci badan Titanic dan kajian mereka mendapat pujian ratusan juta penduduk dunia yang begitu teruja dengan penemuan bersejarah ini.
Lelongan
Sempena sambutan 100 tahun Titanic beberapa acara dilangsungkan untuk mengenang tragedi bersejarah ini. Antaranya lelongan 5,000 barangan berharga yang ditemui daripada penumpang kelas pertama di New York hari ini.
Koleksi barangan itu akan dilelong oleh firma Guernsey yang bekerjasama dengan Premier Exhibitions dan anak syarikatnya yang bertanggungjawab memegang amanah barangan yang ditemui di dalam RMS Titanic.
Dianggarkan jualan kesemua barangan itu mencecah AS$189 juta (RM594 juta).
Antara yang bakal dilelong, set mencukur, permainan kanak-kanak, paip tembakau dan butang tembaga yang dipakai oleh kapten kapal, Edward Smith dan para pegawainya.
Terdapat juga barangan mewah seperti botol kristal dari kabin kelas pertama, lilin dari Restoran A la Carte, pinggan perak serta porselin biru dan emas. Sisa-sisa bahagian kapal itu turut dilelong seperti kompas yang digunakan oleh pegawai pemerhati, lampu, wisel perak dan loceng.
Acara lain yang turut mendapat tempat adalah tayangan semula filem Titanic 3D yang bermula 5 April lepas.
Kapal pelayaran mewah, Balmoral, yang dikendalikan oleh syarikat Fred Olsen Cruise pula ditempah oleh agensi pelancongan, Miles Morgan untuk menyusuri laluan kapal Titanic bagi mengimbau tragedi itu.

No comments:

Post a Comment