Friday, April 6, 2012

kid kesan kanak2 hilang

PDRM dan RHB hasilkan kit pengenalan bantu kesan kanak-kanak hilang

6 April 2012

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kumpulan Perbankan RHB menghasilkan Kit Pengenalan Kanak-Kanak sebagai usaha memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan sekiranya berlaku kes kanak-kanak hilang atau culik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata inisiatif menghasilkan kit itu yang mengandungi maklumat lengkap, gambar, cap jari dan tanda lahir kanak-kanak dimulakan tahun lepas.

"Kita sebelum ini mengesan kanak-kanak yang hilang melalui sistem amaran NUR Alert dan penggunaan kit ini merupakan nilai tambah dalam membantu mengesan mangsa yang hilang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Se-Malaysia, di sini, hari ini.

Ismail berkata ibu bapa yang berminat untuk membuat kit berkenaan perlu membawa anak mereka mendaftar di RHB atau pada program jelajah kempen keselamatan perbankan itu.

Proses membuat kit itu adalah percuma. Beliau berkata kit pengenalan itu kemudian perlu disimpan ibu bapa atau penjaga dan hanya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlakunya kes kanak-kanak itu hilang.

"Kita tidak memaksa ibu bapa memiliki kit ini...cuma mereka perlu memikirkan kemungkinan yang tidak diduga kerana kit ini merupakan langkah yang baik untuk membantu polis dan keluarga mangsa (sekiranya berlaku kes hilang atau culik)," katanya.

Ismail berkata setakat ini maklumat 2,000 kanak-kanak telah rekodkan dalam kit itu menerusi jelajah kempen keselamatan yang dianjurkan RHB di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan dan menurutnya jelajah itu akan dianjurkan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata PDRM turut merancang untuk memperluaskan penggunaan sistem pengesanan suspek "Bio Face" menerusi kerjasama bersama agensi berkaitan bagi meningkatkan usaha mengesan penjenayah membabitkan rakyat tempatan dan asing.

"Alat pengecaman wajah dan cap jari itu diletakkan di tempat awam. Dengan langkah ini, ia dapat membantu polis mengesan suspek atau individu yang dikehendaki untuk membantu siasatan sesuatu kes," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment